Rabu, 8 Julai 2020 | 7:42pm

COVID-19: Saringan bersasar kesan pesakit tidak bergejala

PUTRAJAYA: Pengesanan kes tidak bergejala dapat dilakukan dengan meluas melalui pendekatan saringan bersasar yang dijalankan di kawasan bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan separa PKPD.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata data Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati sebanyak 6,092 daripada keseluruhan 8,674 kes positif setakat ini, adalah kes tidak bergejala manakala 2,282 kes lagi mempunyai gejala.

Beliau berkata, ketika pelaksanaan PKPD dan separa PKPD, KKM menjalankan saringan terhadap semua orang, membolehkan pesakit tanpa gejala dapat dikesan.

"Kes tidak bergejala adalah sebanyak 70.25 peratus manakala kes bergejala ada 29.75 peratus.

"Ketika PKPD atau separa PKPD dijalankan, kita membuat saringan terhadap semua pihak serta saringan bersasar termasuk rumah orang tua dan sekolah tahfiz walaupun mereka tidak bergejala.

"Apa yang penting ialah kita mengesan mereka awal susulan pendekatan bersasar ini," katanya pada sidang media COVID-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya akan terus meningkatkan saringan dan pemantauan COVID-19 termasuk membabitkan pesakit yang menghidap penyakit seperti influenza (ILI) dan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) selain saringan pra-pembedahan.

Selain itu, beliau berkata, pengesanan suhu yang dijalankan termasuk di tempat awam ketika ini mampu mengesan simptom positif jangkitan terutama terhadap mereka yang tidak bergejala.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, pengesanan dan saringan terhadap sub kluster dari kluster Seri Petaling akan diteruskan, biarpun kluster terbesar itu diisytiharkan tamat hari ini.

Katanya, aktiviti saringan itu masih lagi dijalankan di sekolah tahfiz dan madrasah ketika ini.

"Sekiranya ada keperluan atau tanda berlaku peningkatan kes contohnya membabitkan jemaah tabligh, kita akan terus laksanakan saringan itu.

"Ketika ini, KKM akan menjalankan saringan bersasar kepada kumpulan yang berisiko tinggi yang dikenalpasti dan lokaliti terbabit," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media perkembangan semasa jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir
    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media perkembangan semasa jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir
    Berita Harian X