Rabu, 8 Julai 2020 | 7:26pm
PUTRAJAYA 08 JULAI 2020. Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media perkembangan semasa jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan. KHIS/LUQMAN HAKIM ZUBIR
PUTRAJAYA 08 JULAI 2020. Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media perkembangan semasa jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan. KHIS/LUQMAN HAKIM ZUBIR

Pesakit terakhir Kluster Seri Petaling dibenar keluar hospital Isnin lalu

PUTRAJAYA: Selepas tiga bulan 20 hari berada di hospital, termasuk dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), pesakit terakhir dari Kluster Seri Petaling dibenarkan pulang pada Isnin lalu, sekali gus menamatkan kluster terbesar jangkitan COVID-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata lelaki berusia 83 tahun berasal dari Batu Pahat, Johor itu, yang juga dari generasi pertama kluster Seri Petaling, pertama kali mempunyai gejala pada 9 Mac lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Permai, Johor pada 16 Mac lalu.

Beliau berkata, kes ke-799 itu dikesan dalam sub-kluster majlis perkahwinan Bandar Baharu Bangi, yang mencatatkan sebanyak 159 kes.

"Beliau dimasukkan ke Hospital Permai, Johor, pada 16 Mac 2020. Selepas dikesan positif pada keesokan harinya, beliau dipindahkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

Ketika berada di hospital itu, beliau dimasukkan ke ICU dan discaj dari ICU pada 21 Jun 2020.

"Beliau disahkan sembuh dan discaj pada 6 Julai 2020 tetapi ia hanya dimaklumkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 7 Julai," katanya pada sidang media COVID-19, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, pesakit terakhir dalam Kluster Sri Petaling dikesan pada 11 Julai lalu membabitkan kes ke-8,367.

Beliau berkata, kes terakhir itu membabitkan seorang warga Filipina yang juga pelajar di sebuah madrasah di Sungai Lui, Hulu Langat iaitu dalam subkluster Sungai Lui yang mencatatkan sebanyak 211 kes.

"Kontak rapat subkluster ini ditempatkan di Institut Latihan Islam Malaysia.

"Saringan ulangan mendapati beliau positif tetapi tidak menunjukkan sebarang gejala. Beliau dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan sembuh pada 24 Jun 2020," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X