Isnin, 6 Julai 2020 | 5:57pm
Rundingan Malaysia dan Singapura mengenai pembukaan sepenuhnya sempadan kedua-dua negara akan diketahui awal bulan depan.
Rundingan Malaysia dan Singapura mengenai pembukaan sepenuhnya sempadan kedua-dua negara akan diketahui awal bulan depan.

Rundingan buka sempadan Malaysia-Singapura diketahui bulan depan

KUALA LUMPUR: Rundingan Malaysia dan Singapura mengenai pembukaan sepenuhnya sempadan kedua-dua negara akan diketahui awal bulan depan.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata rundingan Malaysia dan Singapura bagi isu Laluan Hijau Timbal Balik (RCL) dan Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA) adalah positif.

Katanya, menerusi perbincangan itu Malaysia konsisten menekankan kepentingan untuk kedua-dua negara mencapai kesepakatan khususnya dari sudut prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan awam COVID-19.

"Ia penting bagi menjamin kesihatan dan keselamatan rakyat kedua-dua negara yang terbabit dalam pergerakan rentas sempadan ini," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini, hari ini.

Empat kategori dibincangkan Malaysia-Singapura iaitu RGL untuk urusan perniagaan penting (essential business) serta urusan rasmi membabitkan kedua-dua negara; PCA untuk membolehkan rakyat Malaysia dan Singapura yang juga pemegang pas imigresen jangka panjang (untuk tujuan perniagaan dan bekerja) pulang secara berkala ke negara masing-masing bagi tujuan cuti pendek.

Kategori ketiga perbincangan adalah isu rakyat Malaysia dan Singapura yang berulang alik setiap hari atas urusan kerja dan keempat isu berkaitan pembukaan sempadan sepenuhnya.

Hishammuddin menjelaskan rundingan dengan negara zon hijau COVID-19 mengenai pembukaan sempadan bersyarat dilaksanakan membabitkan beberapa kategori pengecualian iaitu urusan perniagaan penting; pelajar antarabangsa yang mahu meneruskan pengajian dan isu kemasukan bekalan makanan dari dan ke negara-negara jiran di Asia Tenggara.

Katanya, segala keputusan mengenai perkara itu hanya akan dimuktamadkan setelah mendapat persetujuan di Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan PKP dan Mesyuarat Jemaah Menteri.

"Pelaksanaan pembukaan sempadan ini bukanlah satu perkara mudah.

"Ia memerlukan penelitian dan persediaan rapi serta kesefahaman antara Malaysia dengan negara terbabit. Justeru, perbincangan ini mengambil masa sebelum ia boleh dimuktamadkan.

"Dalam hal ini, apabila pergerakan rentas sempadan ini dibolehkan, Wisma Putra akan berusaha sebaiknya demi memastikan ia memanfaatkan kedua-dua negara dan pada masa yang sama tidak menjejaskan usaha kita memerangi wabak COVID-19," katanya.

Mengulas lanjut mengenai pergerakan rentas sempadan, katanya Wisma Putra mengesahkan rundingan kerajaan Malaysia dengan kerajaan negara yang dikategorikan sebagai zon hijau COVID-19 bagi melaksanakan pergerakan rentas sempadan masih berjalan.

"Rundingan ini dilaksanakan khususnya dengan enam negara zon hijau yang sudah dikenalpasti oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan telah diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini iaitu Singapura, Brunei, New Zealand, Jepun, Australia dan Korea Selatan.

Wisma Putra turut menyambut baik cadangan Tabung COVID-19 di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) diperluaskan bagi membantu usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang masih terkandas di luar negara.

Berita Harian X