Isnin, 6 Julai 2020 | 1:00pm
Antara aksesori dikenal pasti berbahaya oleh MIROS ialah ‘dummy buckle’ atau alat nyah aktif penggera tali keledar.
Antara aksesori dikenal pasti berbahaya oleh MIROS ialah ‘dummy buckle’ atau alat nyah aktif penggera tali keledar.

'Aksesori bahayakan nyawa'

KUALA LUMPUR: Pelbagai aksesori kenderaan yang menjadi kegilaan pemandu kini, hanya kerana mudah dipasang dan kelihatan cantik, tanpa menyedari ia berisiko mencetuskan kemalangan dan meragut nyawa sendiri.

Permintaan tinggi menyaksikan, aksesori kenderaan sama ada yang mematuhi undang-undang atau sebaliknya, dijual secara meluas dalam pasaran termasuk di kedai serbaneka dan dalam talian.

Antara aksesori dikenal pasti berbahaya oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) ialah 'dummy buckle' atau alat nyah aktif penggera tali keledar, kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) mudah alih, lapisan cermin gelap pekat dan penggunaan lampu utama serta belakang yang diubah suai.

Ketua Pengarah MIROS, Dr Khairil Anwar Abu Kassim, berkata 'trend' terbaharu dikesan pihaknya dalam kalangan pemandu kenderaan adalah penggunaan aksesori nyah aktif penggera tali keledar yang boleh didapati pada harga serendah RM2 di kedai serbaneka atau portal beli-belah dalam talian.

Ketua Pengarah MIROS, Dr Khairil Anwar Abu Kassim. - NSTP/Aswadi Alias
Ketua Pengarah MIROS, Dr Khairil Anwar Abu Kassim. - NSTP/Aswadi Alias

Mereka menggunakan aksesori ini untuk untuk menghentikan sistem bunyi peringatan daripada mengenakan tali keledar di dalam kereta.

Pengguna jalan raya juga dipercayai mengenakan tali keledar bersama aksesori ini ketika 'terserempak' atau berdepan polis trafik bagi mengelakkan disaman.

Khairil mengakui, pihaknya bimbang dengan perkembangan terkini, apabila pemandu dan penumpang kenderaan menggunakan aksesori terbabit.

Katanya, malah berdasarkan siasatan pihaknya terhadap kemalangan maut membabitkan sekurang-kurangnya tiga kematian, menemui bukti penggunaan aksesori terbabit dalam kenderaan mangsa.

Mendedahkan bahaya penggunaan aksesori itu, beliau berkata, impak perlanggaran dengan penggunaan tali keledar yang dipasang bersama aksesori terbabit adalah sama dengan kesan tidak memakainya.

Beliau berkata, 30 peratus daripada 1,000 kes siasatan kemalangan dibuat MIROS sejak 2017 hingga tahun ini, mendapati pemandu dan penumpang menggunakan alat nyah aktif penggera tali keledar dalam kenderaan masing-masing.

"Kita khuatir jumlah ini semakin meningkat, jika pengguna jalan raya khususnya pemandu kereta tidak sedar bahawa penggunaan aksesori ini adalah berbahaya.

"MIROS ada melakukan siasatan setiap kali berlaku kemalangan membabitkan tiga kematian ke atas. Apabila kita semak, kebanyakannya tidak memakai tali keledar, namun dalam kenderaan mereka ada aksesori ini.

"Mereka ini bukan sahaja memakai aksesori ini untuk nyah aktif bunyi penggera tali keledar, tetapi turut memakainya bersama tali keledar, sebaik menyedari sekatan jalan raya.

Antara alat nyah aktif tali keledar yang dijual di kedai aksesori ketika tinjauan BH, semalam. - NSTP/Aswadi Alias
Antara alat nyah aktif tali keledar yang dijual di kedai aksesori ketika tinjauan BH, semalam. - NSTP/Aswadi Alias

"Jika memakai tali keledar dengan aksesori nyah aktif penggera itu sebagai penyambung, ia serupa seperti tidak pakai tali keledar, sekali gus berisiko menyebabkan kematian jika berlakunya perlanggaran," katanya.

Beliau berkata, berikutan kereta yang dihasilkan kini dilengkapi sistem penggera penggunaan tali keledar, pihaknya bimbang penggunaan aksesori itu semakin berleluasa pada masa depan, jika penguatkuasaan tidak dilaksanakan.

Sementara itu, bagi penggunaan aksesori tambahan lain juga berisiko menyebabkan kecederaan atau kematian termasuk penggunaan CRS mudah alih yang mana ia tidak berfungsi sama sekali untuk mengurangkan kecederaan jika berlaku kemalangan.

"Manakala bagi pengubahsuaian lampu besar dan lampu belakang pula ia boleh memberi kesan silau kepada pemandu kenderaan dari arah depan atau belakang yang berisiko menyebabkan kemalangan.

"Begitu juga dengan penggunaan cermin gelap tidak mengikut spesifikasi, yang menyukarkan penguatkuasaan dilakukan pihak berkuasa jika pemandu melakukan kesalahan, termasuk jenayah," katanya.

Abai keselamatan demi gaya

Antara aksesori kenderaan yang dijual tidak memenuhi piawaian meningkatkan risiko kemalangan maut.
Antara aksesori kenderaan yang dijual tidak memenuhi piawaian meningkatkan risiko kemalangan maut.

Penggunaan alat nyah aktif tali keledar berisiko menyebabkan beg udara yang menjadi komponen keselamatan kereta tidak berfungsi ketika kemalangan.

Situasi itu, seterusnya boleh membahayakan nyawa pemandu dan penumpang kenderaan terbabit.

Presiden Persatuan Persekutuan Motor dan Syarikat Kredit, Datuk Tony Khor Chong Boon, berkata pengguna perlu menjadikan rutin dengan terus memasang tali keledar sebaik berada dalam kenderaan untuk menyah aktifkan bunyi peringatan dan bukannya memasang aksesori yang berbahaya itu.

"Begitu juga dengan ubah suai lampu hadapan dan belakang yang tidak mengikut spesifikasi akan mendatang risiko kemalangan apabila kenderaan lain tidak dapat melihat anda berikutan silau," katanya kepada BH.

Chong Boon berkata, sebarang ubah suai atau pemasangan aksesori tambahan kenderaan mesti menggunakan komponen diiktiraf Malaysia mengikut piawaian Suruhanjaya Ekonomi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Eropah (ECE).

Beliau berkata, ia amat penting bagi memastikan pemandu dan penumpang kenderaan terlindung daripada sebarang risiko kecederaan teruk atau kematian jika terbabit kemalangan.

Katanya, bagi memastikan pengguna jalan raya mengutamakan keselamatan dalam pemasangan aksesori kenderaan mereka, agensi kerajaan perlu memainkan peranan memberi kesedaran kepada mereka berhubung perkara berkenaan.

"Lindungi diri anda dengan tidak sewenang-wenangnya mengubahsuai kenderaan atau memasang aksesori yang tidak diiktiraf oleh ECE.

"Adalah penting untuk agensi kerajaan yang terbabit supaya mendidik pengguna mengenai bahaya penggunaan aksesori tambahan seperti penyah aktif peringatan tali keledar.

"Mereka harus dinasihati supaya meletakkan kepentingan terhadap keselamatan diri ketika berada di jalan raya dengan merujuk kepada pihak berwajib sama ada aksesori yang ingin digunakan itu selamat atau tidak," katanya.

Berita Harian X