Khamis, 2 Julai 2020 | 10:16pm
KPM melalui Garis Panduan Pengoperasian Surau Sekolah menetapkan setiap murid mesti membawa kelengkapan solat sendiri. - Foto hiasan
KPM melalui Garis Panduan Pengoperasian Surau Sekolah menetapkan setiap murid mesti membawa kelengkapan solat sendiri. - Foto hiasan

Solat di surau sekolah: Murid perlu bawa kelengkapan sendiri

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Garis Panduan Pengoperasian Surau Sekolah menetapkan setiap murid mesti membawa kelengkapan solat sendiri.

Menurut garis panduan itu, sejadah, telekung, songkok, kopiah dan selipar untuk kegunaan ketika berada di surau atau bilik khas yang ditetapkan sebagai tempat solat, perlu dibawa sendiri.

"Murid tidak dibenarkan berkongsi kelengkapan solat dan hendaklah berwuduk di tempat ditetapkan," kata garis panduan itu.

Selain itu, pihak pentadbir sekolah perlu menyelaras surau dan menyediakan jadual bertugas; sabun/peralatan sanitasi tangan; pelan laluan arah keluar dan masuk murid ke surau; serta tanda penjarakan satu meter di pintu masuk dan keluar surau, semua ruang solat, tempat wuduk dan tandas.

Murid juga boleh mendirikan solat secara bersendirian di surau atau bilik khas yang telah ditentukan oleh pihak sekolah.

"Murid tidak dibenarkan bersentuhan serta bersalaman dengan murid lain ketika berada di surau, dan perlu sentiasa mematuhi penjarakan sosial," katanya.

Bagi solat berjemaah pula, murid boleh menggunakan surau sekolah mengikut kapasiti ditetapkan dengan mengambil kira penjarakan sosial.

Murid juga perlu segera menunaikan solat berjemaah di surau bagi memberi laluan kepada jemaah yang berikutnya.

Selain itu, murid boleh mendirikan solat berjemaah di bilik khas yang telah ditentukan oleh pihak sekolah.

Bagi solat berjemaah di sekolah berasrama, sekiranya kapasiti murid melebihi jumlah jemaah dibenarkan pada satu-satu masa, kaedah penggiliran boleh dilaksanakan.

Murid juga boleh mendirikan solat sama ada di bilik (asrama) atau bilik khas dalam kawasan asrama mengikut ketetapan dan peraturan pihak sekolah.

Bagi solat Jumaat, perkara itu tertakluk kepada keputusan dan arahan Jabatan Agama Islam negeri masing-masing.

Perkara itu tertakluk kepada pemakluman rasmi kerajaan dari semasa ke semasa, dan jemaah hanya dibenarkan untuk murid, guru serta warga sekolah.

Individu lain dibenar menunaikan solat Jumaat di surau sekolah termasuklah imam, bilal dan ahli jawatankuasa surau yang dilantik oleh Jabatan Agama Islam negeri atau komuniti untuk mengendali urusan solat Jumaat di surau sekolah; pekerja kontrak kebersihan; pekerja kantin sekolah; pekerja perkhidmatan makanan bermasak di asrama; dan pengawal keselamatan.

Dalam pada itu, pengajaran dan pembelajaran (PdP) seperti tasmik untuk Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) boleh dilaksanakan di surau dengan mematuhi penjarakan sosial.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X