Rabu, 1 Julai 2020 | 6:42pm
Kaedah bekerja dari rumah menjadi kebiasaan baharu bagi mengekang penularan COVID-19. - Foto hiasan
Kaedah bekerja dari rumah menjadi kebiasaan baharu bagi mengekang penularan COVID-19. - Foto hiasan

Kaji kaedah bekerja dari rumah

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia akan menjalankan kajian mengenai kelemahan dalam pelaksanaan kaedah bekerja dari rumah bagi memastikan hak pekerja dan majikan sentiasa terbela.

Ia berikutan kaedah bekerja dari rumah menjadi kebiasaan baharu bagi sebahagian besar syarikat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu berikutan pandemik COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan, berkata kajian mengenai perkara itu dijangka dibuat pada Oktober depan dengan memberi tumpuan utama kepada pandangan pakar perundangan sebelum sebarang keputusan mengenainya dibuat.

Katanya, kaedah bekerja dari rumah sebagai pendekatan memerangi jangkitan COVID-19 berkemungkinan berterusan diguna pakai, bergantung kepada jangka masa pemulihan penularan wabak terbabit.

Beliau berkata, antara contoh yang memerlukan penelitian ialah isu tuntutan elaun kerja lebih masa kakitangan yang bekerja dari rumah yang mana perlu menitikberatkan sama ada pekerja akan menikmati faedah sama seperti kaedah bekerja di pejabat atau sebaliknya.

"Ada pihak berpendirian (bekerja dari rumah) akan jadi budaya baharu bagi yang mahu menjimatkan kos kerana berpuas hati dengan sistem bekerja dari rumah.

"Tambahan, kita kurang pasti sejauh mana bekerja dari rumah akan diteruskan dalam normal baharu dengan mengambil kira pandemik COVID-19. Sama ada ia relevan untuk diteruskan atau tidak, hanya masa menentukan.

"Jika kita berjaya (memerangi penularan COVID-19) mungkin tidak perlu bincangkan isu berkaitan bekerja dari rumah kerana sistem kembali seperti sedia kala," katanya dalam temu bual eksklusif bersama BH di sini, semalam.

Berikutan pengenalan kaedah bekerja dari rumah sejak PKP dikuat kuasakan pada Mac lalu, timbul persoalan sama ada Akta Kerja 1955 mempunyai klausa berkaitan hak pekerja dan majikan dalam kaedah bekerja itu.

Selain kerja lebih masa, antara isu lain dibangkitkan termasuk mengenai kawalan disiplin dan penentuan petunjuk prestasi utama (KPI).

Sementara itu, Saravanan berkata, pihaknya akan memperkenalkan sistem e-gaji bagi pekerja asing untuk memantau sistem dan kelancaran pembayaran gaji terhadap golongan berkenaan.

Beliau juga mengesyorkan supaya pendaftaran pekerja asing dibuat melalui Kementerian Sumber Manusia bagi menyelesaikan isu berbangkit diketengahkan kerajaan, selain mengelak wujud elemen manipulasi.

Masalah berkenaan ialah tempat penginapan, pembayaran gaji dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang akan diwajibkan ke atas pekerja asing mulai 1 September ini.

"Melalui data Jabatan Imigresen, kita ada 2.1 juta pekerja asing, namun kira-kira 600,000 daripada mereka berdaftar dengan Kementerian Sumber Manusia.

"Ini agak mustahil bagi kita mengatasi tiga masalah berkenaan. Semua agensi sedia ada boleh membawa masuk pekerja asing mengikut keperluan, tetapi hanya pendaftaran perlu dibuat lebih awal kepada Kementerian Sumber Manusia.

"Agensi sedia ada yang membawa masuk pekerja asing tidak tertakluk kepada akta berkaitan perumahan, caruman PERKESO atau gaji," katanya yang juga Ahli Parlimen Tapah.

Ditanya sama ada kerajaan sudah bersedia membuka sempadan untuk membawa masuk pekerja asing, beliau berkata, perkara itu tidak akan berlaku dalam tempoh terdekat.

"Setakat ini, tiada pekerja asing boleh dibawa masuk. Bagaimanapun, sedikit kelonggaran diberikan kepada sektor tertentu yang memerlukan tenaga kerja spesifik.

"Bagi bidang lain, kita akan guna pakai pekerja asing sedia ada di negara ini. Kita akan pindahkan pekerja asing dari sektor yang muflis ekoran kelembapan ekonomi ke suatu sektor lain yang memerlukan," katanya.

Berita Harian X