Selasa, 30 Jun 2020 | 6:18pm
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mansor Othman (dua dari kiri) bersama Yang DiPertua Yayasan An-Nahdhoh, Abdul Mutalib Maarof (kiri) melihat buah kurma yang ditanam ketika lawatan kerja di Yayasan An-Nadhoh, Kubang Seman, Permatang Pauh. - Foto NSTP/Danial Saad
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mansor Othman (dua dari kiri) bersama Yang DiPertua Yayasan An-Nahdhoh, Abdul Mutalib Maarof (kiri) melihat buah kurma yang ditanam ketika lawatan kerja di Yayasan An-Nadhoh, Kubang Seman, Permatang Pauh. - Foto NSTP/Danial Saad

SOP kemasukan pelajar ke IPT diperkemas

PERMATANG PAUH: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang memperkemas prosedur operasi standard (SOP) untuk kemasukan semula pelajar ke institusi pengajian tinggi (IPT) yang akan bermula Oktober ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Mansor Othman, berkata kementerian sudah mempunyai SOP bagi kemasukan pelajar Sarjana Muda dan pasca siswazah mod penyelidikan di universiti awam dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

"KPT sebelum ini sudah membuat keputusan untuk membuka semula pusat pengajian secara berperingkat iaitu dimulai dengan pendaftaran pelajar baharu mengikut SOP yang ditetapkan.

"Bagi kemasukan semua pelajar pula, SOP juga sudah ada dan ia sedang dimurnikan supaya pusat pengajian dapat beroperasi sepenuhnya pada Oktober ini dalam keadaan baik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja di Yayasan An Nahdhoh, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pendaftaran pelajar baharu hanya dilakukan secara dalam talian dan semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) hendaklah dilaksanakan secara dalam talian sehingga hujung tahun ini dan tidak dibenarkan secara bersemuka.

Dalam pada itu, Mansor berkata, KPT perlu menyesuaikan sistem pendaftaran pelajar dengan mereka bentuk semula minggu suai kenal pelajar sesuai dengan keadaan negara yang berdepan dengan penularan pandemik COVID-19.

Mengulas mengenai lawatannya di Yayasan An Nahdhoh, Mansor berkata, kerajaan berharap lebih banyak institusi keagamaan dan maahad tahfiz dapat mempelopori Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

"Selain mempelajari ilmu agama, pendidikan kemahiran juga penting bagi memberi ilmu tambahan untuk masa hadapan," katanya.

Katanya, kerajaan menyasarkan 50 institusi dan maahad tahfiz di seluruh negara dapat menguasai TVET dari semasa ke semasa.

Berita Harian X