Jumaat, 26 Jun 2020 | 9:16pm
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap ketika menghubungi Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong melalui panggilan telefon di pejabatnya hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap ketika menghubungi Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong melalui panggilan telefon di pejabatnya hari ini. - Foto BERNAMA

Buka sempadan Malaysia-Singapura dimuktamad dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia dan Singapura yakin cadangan pembukaan semula sempadan kedua-dua negara dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, usaha dan kaedah pembukaan sempadan itu antara yang dibincangkan ketika beliau menghubungi Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, hari ini.

Dalam perbincangan itu, Muhyiddin dan Hsien Loong yakin isu berkaitan prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan yang sedang diperhalusi di peringkat menteri dan pegawai kanan kerajaan serta pakar kesihatan kedua-dua negara, dapat menyokong cadangan pembukaan semula sempadan, dan dimuktamadkan dalam masa terdekat, sekali gus menangani kebimbangan rakyat.

Muhyiddin dan rakan sejawatannya itu turut sepakat pembukaan semula sempadan kedua-dua negara perlu dilakukan secara berhati-hati dan mengikut garis panduan serta protokol kesihatan tertentu, demi menjana semula sektor ekonomi dan pelancongan yang tentunya memberi manfaat besar kepada kedua-negara negara.

Beliau dan Hsien Loong turut berbincang mengenai keperluan mewujudkan 'Reciprocal Green Lane' bagi menjamin kelancaran pergerakan di kedua-dua negara, dengan Malaysia menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Singapura untuk memuktamadkannya tidak lama lagi.

"Kami juga membangkitkan mengenai urusan berulang-alik 'Periodical Commuting Arrangement (PCA)' antara Malaysia-Singapura, di mana jika dilaksanakan akan memudahkan urusan pergerakan rakyat kedua-dua negara.

"Di bawah pengaturan ini, penduduk kedua-dua negara boleh bekerja di negara lain bagi tempoh kurang tiga bulan dan akan dibenarkan memasuki negara asal mereka ketika pulang bercuti.

"Cadangan ini dilihat selaras dengan keprihatinan kerajaan mengenai nasib rakyat Malaysia, khususnya yang bekerja di Singapura dan tidak dapat pulang ke rumah berikutan prosedur operasi standard (SOP) kuarantin yang ketat di kedua-dua negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam perbualan itu juga, Muhyiddin turut meminta Hsien Loong memberi pertimbangan sewajarnya dalam membenarkan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura berulang-alik ke tempat kerja setiap hari.

"Sebarang keputusan mengenai perjanjian ini bagaimanapun bergantung kepada tahap kesediaan kedua-dua negara, meliputi aspek kapasiti melaksanakan ujian saringan dan ujian calitan COVID-19," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X