Khamis, 25 Jun 2020 | 4:14pm

PTPTN, PERKESO buka peluang pekerjaan

PUTRAJAYA: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) termasuk yang disenarai hitam kini berpeluang mencari pekerjaan di platform disediakan institusi pengurusan dana dan tabung pendidikan tinggi itu dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, berkata program 'Virtual Mini Job Hunt for PTPTN Borrowers' secara dalam talian menyediakan sebanyak 4,609 jawatan kosong membabitkan 20 majikan.

Katanya, program itu bukan sahaja membantu graduan yang belum mendapat pekerjaan, tetapi juga terbuka kepada individu yang sudah bekerja namun ingin meningkatkan taraf hidup.

"Sebagai peneraju pinjaman pendidikan, PTPTN melihat masalah yang dihadapi oleh peminjam di bawah perbadanan ini ialah sukar mendapat pekerjaan, atas sebab itu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan PTPTN mengambil langkah proaktif bagi mengatasi masalah ini.

"Diharapkan dengan jalinan kerjasama yang julung kali diadakan ini dapat memberi manfaat kepada peminjam PTPTN serta mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan politeknik dan institusi pengajian tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman antara PTPTN dan PERKESO, di KPT, di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr M Saravanan dan Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Sementara itu, Mohammed Azman berkata program berkenaan adalah antara insentif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

"Kita tawarkan pelbagai jenis pekerjaan termasuklah dalam sektor pembuatan, servis, runcit, perbankan dan pendidikan dengan tawaran gaji maksimum RM5,000," katanya.

Program 'Virtual Mini Job Hunt for PTPTN Borrowers' itu berlangsung selama empat hari bermula 30 Jun hingga 3 Julai ini.

Antara acara menarik ialah sesi ceramah 'webinar' mengenai kebolehpasaran pekerjaan yang berlangsung dua hari dan disusuli temu duga terbuka yang diadakan secara dalam talian.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad (dua kiri) bersama Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan (dua kanan) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid (kiri) dengan Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed (kanan) di Kementerian Pengajian Tinggi, Putrajaya. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad (dua kiri) bersama Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan (dua kanan) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid (kiri) dengan Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed (kanan) di Kementerian Pengajian Tinggi, Putrajaya. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X