Rabu, 24 Jun 2020 | 10:45pm
 Foto AFP
Foto AFP

Kerajaan pastikan rakyat Malaysia di Arab Saudi diutamakan tunai haji tahun ini

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan berusaha memastikan rakyat Malaysia di Arab Saudi diberi keutamaan dalam menunaikan haji susulan pendirian kerajaan negara itu untuk mengehadkan ibadat berkenaan kepada rakyat mereka serta rakyat negara lain yang sudah berada di sana.

Dalam satu kenyataan bersama, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berjanji akan sentiasa berkomunikasi dengan kerajaan Arab Saudi bagi memastikan rakyat Malaysia diutamakan.

"Malaysia amat menerima baik pendirian kerajaan Arab Saudi ini, yang bukan saja menggambarkan kecaknaan Raja Salman Abdulaziz dan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi terhadap terhadap umat Islam di seluruh dunia bagi memastikan ibadat ini dapat dilaksanakan dengan selamat berdasarkan perspektif kesihatan umum.

"Malah, ia juga bertepatan dengan konsep maqasid syariah iaitu hifz al-nafs (pemeliharaan nyawa)," katanya dalam kenyataan itu, hari ini.

Dalam kenyataan itu, Hishammuddin memaklumkan menerima panggilan telefon daripada Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud, Isnin lalu, yang memaklumkan mengenai hasrat kerajaan negara itu untuk mengehadkan ibadat haji tahun ini.

Perkara sama turut dimaklumkan kepada Zulkifli semalam, menerusi panggilan telefon oleh Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Panduan Arab Saudi, Shaikh Abdullatif Abdulaziz Aal Al Shaikh serta Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Shaikh Dr Muhammad Saleh Taher Benten.

Dalam pada itu, Hishammuddin dan Zulkifli mengajak umat Islam di Malaysia untuk mendoakan wabak COVID-19 hilang dari bumi Arab Saudi, Malaysia dan seluruh dunia.

"Marilah juga kita doakan semoga ibadat haji tahun hadapan dapat dijalankan seperti sebelum ini," katanya.

Media antarabangsa hari ini melaporkan, Arab Saudi akan membenarkan hanya kira-kira 1,000 jemaah sedia ada di negara itu untuk menunaikan haji tahun ini, berbanding 2.5 juta jemaah pada tahun lalu.

Bagaimanapun, setakat ini proses pemilihan jemaah untuk musim haji kali ini masih belum jelas.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X