Rabu, 24 Jun 2020 | 7:36pm

COVID-19: KKM kaji kesan jangka panjang pada bekas pesakit

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengkaji sama ada bekas pesakit COVID-19 di Malaysia turut berdepan beberapa komplikasi yang dilaporkan dialami beberapa bekas pesakit di luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata antara komplikasi yang dilaporkan termasuklah pengurangan tahap antibodi atau ketahanan tubuh terhadap jangkitan pelbagai jenis kuman selepas tiga bulan mereka disahkan bebas daripada penyakit itu.

"Ada komplikasi (dilaporkan negara luar) mereka yang sudah pulih COVID-19, imuniti atau ketahanan tubuh mereka tidak kekal, selepas tiga bulan antibodi Immunoglobulin M (IgM) dan Immunoglobulin G (IgG) berkurangan.

"Jadi, (COVID-19) mungkin ada kesan pada imuniti individu yang dijangkiti. Kalau individu itu ada imuniti yang rendah, mereka akan mudah mendapat jangkitan kuman. Bukan hanya COVID-19, tetapi juga kuman lain.

"Sekarang ini, KKM sedang pastikan rawatan susulan untuk pantau kesihatan pesakit kita yang sudah pulih, terutama kategori empat dan lima dan dalam proses untuk kita lihat kesan sampingan jangka panjang," katanya pada sidang media harian mengenai COVID-19 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, disamping merujuk laporan kajian antarabangsa, KKM menerusi Institut Perubatan Respiratori, turut menjalankan kajian bagi melihat kesan jangka panjang pada bekas pesakit COVID-19 di Malaysia, khususnya kategori lima iaitu yang pernah di beri bantuan pernafasan.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, beberapa komplikasi lain yang turut dikesan pada pesakit COVID-19, khususnya kategori lima, termasuk kemungkinan paru-paru rosak akibat keradangan, selain pembekuan darah dalam salur darah yang boleh menyebabkan strok, sakit jantung serta masalah usus dan buah pinggang.

"Untuk rawatan, kita cuba cegah radang paru-paru dengan pelbagai ubat. Sekarang kita sudah kenal pasti ubat dexamethasone yang berkesan jika digunakan pada peringkat awal bagi pesakit kategori empat dan lima.

"Bagi mengelakkan pembekuan darah, kita beri ubat 'low moleuclar weight heparin' dan sebagainya untuk mengawal darah daripada beku," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Antibodi bekas pesakit berkurangan selepas tiga bulan. - Foto hiasan
    Antibodi bekas pesakit berkurangan selepas tiga bulan. - Foto hiasan
    Berita Harian X