Selasa, 23 Jun 2020 | 3:36pm

Muzakarah bincang solat Jumaat dua sesi esok

KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada solat Jumaat dua sesi akan dibenarkan atau tidak akan dibincangkan dalam Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata hasil perbincangan mengenai solat Jumaat itu kemudian akan dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja.

"Insya-Allah akan ada muzakarah antara mufti esok dan keputusannya akan diangkat kepada Majlis Raja-Raja," katanya dalam sidang media pada Majlis Penyerahan Bantuan Aktiviti Dakwah dan Kebajikan serta pelancaran aplikasi Mobile Jejak Asnaf (MOJA) di PERKIM di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai sama ada Malaysia akan mencontohi Singapura yang membenarkan solat Jumaat dua sesi bagi memberi peluang kepada lebih ramai jemaah menunaikannya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, keperluan untuk membenarkan solat Jumaat dilakukan dalam dua sesi akan diteliti oleh Dr Zulkifli.

Singapura memutuskan untuk membenarkan solat Jumaat mulai 26 Jun dilakukan dua sesi bagi membolehkan lebih ramai umat Islam berpeluang mendirikan ibadat itu.

Sementara itu ditanya mengenai keputusan Arab Saudi membenarkan penduduk dan warga asing di negara itu menunaikan haji, katanya, kerajaan sudah menetapkan pendirian tidak akan menghantar jemaah haji tahun ini.

"Keputusan itu bertepatan dengan keputusan kerajaan Arab Saudi mengehadkan jemaah haji tahun ini hanya untuk penduduk yang tinggal di negara itu," katanya.

Beliau memaklumkan sudah berhubung dengan Kementerian Haji dan Umrah di Arab Saudi dan mereka menghormati pandangan Malaysia mengenai isu jemaah haji bagi tahun ini.

"Semalam daripada Kementerian Haji dan Umrah (Arab Saudi) sendiri sudah telefon saya yang mana mereka menghargai Malaysia dan Insya-Allah kita akan keluarkan kenyataan mengenainya.

"Memang pada tahun ini kita tidak akan hantar jemaah sama ada jemaah melalui Tabung Haji atau pun Furada," katanya.

Terdahulu, Dr Zulkifli mengucapkan tahniah kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kerana berjaya membangunkan aplikasi jejak asnaf, Mobile Jejak Asnaf (MOJA).

Katanya, aplikasi itu memudahkan orang awam melaporkan mana-mana individu yang dirasakan layak menerima bantuan daripada MAIWP.

Pada majlis itu, sebanyak RM1.5 juta dana zakat disalurkan kepada MAIWP diagihkan kepada 46 institusi termasuk 32 badan bukan kerajaan (NGO), sembilan Pusat Tahfiz dan sembilan rumah kebajikan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X