Selasa, 23 Jun 2020 | 2:27pm

Penerima moratorium terima manfaat penangguhan RM43.7 bilion

PUTRAJAYA : Sejumlah RM43.7 bilion dimafaatkan oleh penerima moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan setakat 19 Jun lalu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM15.3 bilion dimanfaatkan oleh sektor perniagaan.

Bagi jumlah yang dimanfaatkan rakyat pula, beliau berkata, sejumlah RM28.4 bilion adalah nilai moratorium yang dinikmati melalui pinjaman yang layak dari institusi kewangan.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan peminjam bahawa tempoh moratorium ini akan berakhir pada 30 September 2020.

"Bagi mereka yang mungkin memerlukan kemudahan penyusunan dan penjadualan semula selepas 30 September, peminjam dinasihatkan untuk berbincang dengan institusi kewangan masing-masing.

"Demi kelangsungan aliran tunai, kalau boleh janganlah tunggu sehingga saat-saat akhir untuk berbincang dengan institusi kewangan anda," katanya.

Beliau berkata demikian dalam perkongsian video mengenai pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) di Facebook, hari ini.

Bulan lalu, Tengku Zafrul dalam satu kenyataan berkata, bank tempatan bersetuju untuk tidak mengenakan caj tambahan ke atas bayaran ansuran perjanjian sewa beli konvensional dan Syariah.

Caj tambahan berkenaan adalah kadar faedah terakru serta yuran dan penalti lewat bayar.

Tengku Zafrul berkata, kementeriannya telah mencapai kata sepakat dengan industri perbankan berhubung perkara itu susulan saranan kerajaan kepada industri perbankan mengenai pelupusan caj tambahan berkenaan.

"Persetujuan dicapai untuk menetapkan bahawa jumlah ansuran bulanan pinjaman tidak akan berubah bagi peminjam sewa beli (konvensional dan Syariah) sepanjang tempoh pembiayaan itu.

"Ini juga bermakna tiada sebarang caj tambahan akan dikenakan sewaktu tempoh moratorium (penangguhan)," katanya.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz
Berita Harian X