X
Ahad, 21 Jun 2020 | 3:01pm
Maritim Malaysia ketika operasi pemantauan lokasi panas atau lorong tikus di Johor, pada 13 Jun lalu yang dipercayai menjadi laluan masuk dan keluar migran dari Indonesia ke negara ini di perairan Johor Barat bermula dari Kukup, Pontian, hingga ke Batu Pahat.- Foto/BERNAMA
Maritim Malaysia ketika operasi pemantauan lokasi panas atau lorong tikus di Johor, pada 13 Jun lalu yang dipercayai menjadi laluan masuk dan keluar migran dari Indonesia ke negara ini di perairan Johor Barat bermula dari Kukup, Pontian, hingga ke Batu Pahat.- Foto/BERNAMA

Kekang kegiatan seludup PATI

KUALA LUMPUR: Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) merancang menambah aset baharu terutamanya aset maritim bagi mengekang jenayah penyeludupan pendatang tanpa izin (PATI) dan jenayah rentas sempadan.

Komander NTF, Laksamana Madya Datuk Aris Adi Tan Abdullah, berkata kini pihaknya menggunakan aset sedia diguna pakai bagi Operasi Benteng (Op Benteng).

Beliau berkata, memandangkan Op Benteng adalah operasi bersepadu, atur gerak aset diselaraskan bagi mencapai misi yang dihasratkan.

"Bagaimanapun, NTF kini dalam perancangan untuk menambah aset baharu terutamanya bagi aset maritim. Antara penambahan yang dicadangkan adalah bot pemintas.

"Untuk Op Benteng ini, aset maritim memang tidak mencukupi dan kami masih perlukan bot pemintas untuk memintas pendatang tanpa izin di perairan negara ini," katanya kepada Bernama dalam wawancara khas di ibu pejabat NTF, di sini.

Aris berkata, NTF juga dalam perancangan untuk menambah aset udara seperti penggunaan dron dan pesawat tanpa pemandu (UAV).

Beliau berkata, aset berkenaan amat berguna untuk pemantauan secara langsung dan dapat menyalurkan maklumat dengan cepat serta tepat.

"Insya-Allah kerajaan sedang memberikan peruntukan khas untuk NTF dan sedang memperoleh aset yang kami mohon.

"Selain itu, NTF akan cuba sedaya upaya menutup segala kelemahan aset supaya operasi bersepadu ini, semua aset kita boleh berkongsi dengan agensi penguat kuasa lain," katanya.

Aris berkata, bagi keperluan darat, NTF juga merancang untuk membuat beberapa perolehan bagi menampung aset yang sedia ada.

"Antaranya aset mobiliti bagi menambah baik operasi perisikan di daratan," katanya.

Ditanya mengenai Op Benteng, beliau berkata NTF menyelaras dan mengoptimumkan sumber manusia, aset dan atur gerak semua agensi penguatkuasaan agar mencapai objektif disasarkan.

Aris berkata, penyelarasan itu dilihat efektif terutamanya aspek perkongsian maklumat perisikan, koordinasi kawasan rondaan dan pengurusan penahanan pendatang tanpa izin kerana disepadukan secara berpusat.

Op Benteng COVID-19 yang dilancarkan 12 Mei lalu membabitkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan semua agensi penguatkuasaan daratan dan maritim negara.

– BERNAMA

Berita Harian X