Sabtu, 20 Jun 2020 | 11:12am
Gambar hiasan. Sebahagian PATI yang ditahan di Hutan Melintang oleh NTF. FOTO/ARKIB NSTP
Gambar hiasan. Sebahagian PATI yang ditahan di Hutan Melintang oleh NTF. FOTO/ARKIB NSTP

NTF buru tekong tempatan seludup PATI

KUALA LUMPUR: Segelintir rakyat tempatan sanggup memperjudikan

kedaulatan negara demi mengaut keuntungan lumayan dengan menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.

Mereka yang berperanan sebagai tekong darat dan laut itu dikatakan menerima bayaran tinggi antara RM13,000 hingga RM15,000 untuk setiap PATI yang dibawa masuk ke negara ini.

Mendedahkan perkara itu, Komander Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF), Laksamana Madya Datuk Aris Adi Tan Abdullah, berkata pihaknya akan memperhebatkan usaha membanteras penyeludupan PATI yang didalangi kebanyakannya tekong rakyat tempatan.

"Keuntungan diperoleh mereka (tekong) ini luar biasa, malah jumlah bayaran juga berbeza mengikut kawasan dan aktiviti," katanya dalam satu temu bual khas bersama Bernama di ibu pejabat NTF di sini baru-baru ini.

Contohnya, jika PATI dibawa bergerak dari satu tempat ke tempat lain melalui sempadan yang dekat, tekong terbabit akan menerima bayaran antara RM800 dan RM1,500 untuk setiap seorang PATI.

"Jika sempadan yang (jaraknya) jauh, sudah tentu dikenakan bayaran tinggi sekitar RM13,000 hingga RM15,000 dan mempunyai harga tertentu," katanya.

Pihak NTF mengenal pasti antara laluan masuk PATI iaitu kawasan utara Pulau Langkawi di Kedah; selatan Kuala Selangor, Selangor ke Tanjung Piai, Johor; dan tenggara Johor.

"NTF mempunyai anggota yang bertugas 24 jam setiap hari di kawasan panas itu," katanya.

NTF juga membuat pemantauan kira-kira 500 laluan tikus masing-masing di Sabah dan Sarawak, yang dijadikan laluan untuk membawa masuk PATI.

Aris Adi berkata, lorong tikus di Malaysia dibahagikan kepada tiga kategori iaitu laluan yang mempunyai rekod tangkapan sebelum ini tetapi aktif berjumlah 203; laluan pernah digunakan sebelum ini namun kurang aktif (202); dan laluan tidak aktif dan dianggap jalan terakhir jika laluan satu dan dua dikawal ketat (106).

Beliau berkata, pasukannya berdepan cabaran besar dalam mengesan dan mengenal pasti pergerakan PATI terutamanya etnik Rohingya yang masuk ke negara ini melalui lorong tikus kerana didalangi tekong serta individu rakyat tempatan di sempadan daratan dan maritim negara.

"Selat Melaka dan Selat Singapura juga adalah laluan maritim yang sibuk dengan pergerakan kapal dagang.

"Maka, PATI khususnya di barat dan selatan Semenanjung mengambil peluang dengan menggunakan laluan kapal dagang untuk masuk ke perairan negara," katanya.

Tegasnya, walaupun perairan negara ini luas, ia tidak mematahkan komitmen NTF untuk membanteras kegiatan pencerobohan PATI sehingga ke akar umbi. - BERNAMA

Berita Harian X