X
Rabu, 17 Jun 2020 | 1:41pm
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Shaharuddin Khalid.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Shaharuddin Khalid.

Perbaharui lesen memandu, cukai jalan segera

PUTRAJAYA: Pengguna jalan raya dinasihatkan memperbaharui lesen memandu dan lesen kenderaan motor (cukai jalan) yang sudah tamat tempoh sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tamat.

Ini bagi mengelakkan berlaku kesesakan di 855 kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara sekiranya kerajaan mengambil keputusan untuk tidak menyambung pelaksanaan PKPP yang dijadual berakhir pada 31 Ogos depan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid, berkata buat masa ini lebih 2.18 juta lesen memandu dan 2.11 juta cukai jalan belum diperbaharui di seluruh negara sejak 18 Mac sehingga 14 Jun lalu.

"Semua 855 kaunter JPJ di seluruh negara sudah beroperasi sepenuhnya setiap hari sejak 18 Mei lalu termasuk hari Sabtu dan Ahad, yang mana kaunter dibuka sehingga jam 1 tengah hari.

"Justeru kita minta orang ramai mengambil peluang ini untuk menyelesaikan segala urusan yang tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini," katanya pada sidang media di ibu pejabat JPJ di sini, hari ini.

Sebaik kerajaan melaksanakan PKP 18 Mac lalu, kerajaan memberi pengecualian kepada pengguna jalan raya membaharui lesen memandu dan cukai jalan yang tamat tempoh.

Katanya, orang ramai juga boleh memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan masing-masing di

pejabat JPJ di Pusat Transformasi Bandar (UTC) seluruh negara yang beroperasi sehingga jam 10 malam.

"Kita amat menggalakkan orang ramai untuk menggunakan kaedah pembayaran elektronik (e-payment) dalam segala urusan di JPJ sama ada menggunakan kad kredit dan debit.

"Selain itu kita akan memperkenalkan khidmat 'pintu ke pintu' untuk kemudahan orang ramai memperbaharui cukai jalan yang tamat tempoh tanpa perlu beratur di kaunter, mulai 1 Julai ini," katanya.

Jelasnya, pembaharuan boleh dibuat secara dalam talian melalui portal mySIKAP dan cukai jalan yang baharu akan dihantar ke rumah pemohon oleh Pos Malaysia.

Bagaimanapun khidmat ini tidak digunapakai untuk pemilik kenderaan komersial dan e-hailing yang mana mereka masih diwajibkan berurusan di kaunter JPJ seperti biasa.

Berita Harian X