Isnin, 15 Jun 2020 | 4:51pm
Gambar fail (hiasan) - NSTP/MIKAIL ONG
Gambar fail (hiasan) - NSTP/MIKAIL ONG

PKPP: SOP baharu untuk operasi rumah ibadat bukan Islam

KUALA LUMPUR: Kesemua 5,230 rumah ibadat bukan Islam, kecuali di kawasan Zon Merah, dibenarkan beroperasi dengan had kapasiti satu per tiga daripada bilangan penganut bagi dewan atau ruang beribadat serta amalan penjarakan sosial.

Kementerian Perpaduan Negara dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan bahawa ia antara prosedur operasi standard (SOP) baharu yang ditetapkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Waktu beroperasi kembali seperti biasa dengan amalan kawalan kendiri dan kebiasaan baharu serta mematuhi garis panduan pihak kerajaan negeri.

"Pelaksanaan aktiviti keagamaan tertakluk kepada SOP dan Senarai Aktiviti Yang Dilarang seperti perarakan keagamaan, kenduri dan perhimpunan yang ramai serta sukar dikawal," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, walaupun dibenarkan beroperasi, ia masih tertakluk kepada peraturan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Majlis Keselamatan Negara (MKN), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta kerajaan negeri.

Kenyataan itu menjelaskan, mesyuarat khas Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, hari ini, telah bersetuju dengan cadangan SOP baharu bagi pelaksanaan aktiviti keagamaan di semua rumah ibadat bukan Islam.

Katanya, pelaksanaan SOP berkenaan tertakluk kepada kelulusan pihak kerajaan negeri bagi setiap rumah ibadat bukan Islam.

"Ahli jawatankuasa rumah ibadat, ketua agama serta penganut dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan kebiasaan baharu dan disiplin kendiri seperti amalan penjarakan sosial, memakai pelitup muka, serta kerap membersihkan tangan dengan sabun dan air atau hand sanitizer," katanya.

Sebelum ini, rumah ibadat bukan Islam di Zon Hijau dibenarkan beroperasi mulai 10 Jun lalu, namun hanya pada hari utama atau penting bagi setiap agama itu, iaitu antara satu atau dua hari seminggu.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X