Isnin, 15 Jun 2020 | 12:35pm

30,000 pekerja terima SIP PERKESO

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sudah membayar faedah sebanyak RM103 juta kepada kira-kira 30,000 pekerja yang kehilangan pekerjaan sehingga bulan lalu, menerusi Sistem Insurans Pekerja (SIP) PERKESO.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata selain menerima faedah berkenaan mereka turut dibantu bagi mendapatkan pekerjaan yang baharu.

"Setakat bulan lalu, PERKESO sudah membayar faedah berjumlah RM103 juta menerusi SIP kepada mereka yang kehilangan pekerjaan bagi membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup.

"Rata-rata mereka yang menerima faedah ini adalah dari sektor pembuatan, perhotelan dan pelancongan selepas terkesan akibat penularan pandemik COVID-19," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Lembaga PERKESO di sini, hari ini.

Saravanan berkata, pelbagai usaha sedang dilaksanakan bagi membantu mereka yang kehilangan pekerjaan, termasuk meningkatkan kemahiran supaya dapat bertukar ke bidang lain.

Dalam pada itu, beliau berkata, PERKESO merancang untuk membuka pusat dialisis sendiri bagi memenuhi keperluan terhadap kemudahan itu yang semakin meningkat.

"Jumlah penerima rawatan dialisis menerusi PERKESO menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun. Pada 2018, sebanyak RM278.07 juta dibelanjakan untuk tujuan itu manakala tahun lalu, perbelanjaannya meningkat kepada RM290.81 juta," katanya.

Selain itu, Saravanan turut berharap pembinaan Pusat Rehabilitasi PERKESO di zon utara khususnya Perak dapat disegerakan.

Katanya, secara purata, sekitar 30 hingga 35 peratus daripada jumlah kes yang diterima pusat rehabilitasi sedia ada di Melaka adalah dari utara Semenanjung.

"Justeru, penubuhan Pusat Rehabilitasi PERKESO di zon utara dilihat relevan bersandarkan kejayaan program 'Return To Work PERKESO," katanya.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.- Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.- Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X