Khamis, 11 Jun 2020 | 4:47pm
Foto BERNAMA
Foto BERNAMA

Lebih 2,000 anggota tentera bantu polis pantau PKPP

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menugaskan lebih 2,300 anggotanya membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dikuatkuasakan bermula semalam sehingga 31 Ogos depan.

Panglima Angkatan Tentera, Jenaral Tan Sri Affendi Buang, berkata jumlah itu adalah tertakluk kepada keperluan semasa bagi tugasan yang memerlukan anggota ATM untuk bergandingan dengan anggota PDRM.

"Ketika PKPP, kekuatan anggota ATM adalah antara 2,300 hingga 2,500, iaitu berkurangan sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Namun jumlah itu tertakluk kepada keperluan semasa yang diselaraskan oleh pihak PDRM," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Kata beliau lagi, sepanjang tempoh pelaksanaan PKPP, fokus tugas anggota ATM adalah menyertai rondaan kereta peronda polis (MPV) serta pasukan pemantauan dan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

"Anggota ATM juga akan melakukan penugasan di sekatan jalan raya (SJR) namun perkara itu adalah tertakluk kepada keperluan semasa.

"Penugasan anggota ATM sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga PKPP dilaksanakan secara penggiliran oleh formasi yang sama," kata beliau

lagi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian PKPP di Putrajaya, semalam memaklumkan ATM akan tetap membantu PDRM dalam operasi pematuhan SOP PKPP.

Turut sama, pasukan Ikatan Relawan (RELA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Fokus pasukan petugas khas ini tidak lagi dalam SJR, tetapi pematuhan SOP orang ramai di premis perniagaan termasuk pasar awam, pasar malam sepanjang pelaksanaan PKPP mulai hari ini (semalam) hingga 31 Ogos.

"ATM akan terus membantu PDRM dalam pasukan petugas khas ini memantau aspek pematuhan SOP, begitu juga RELA, APM dan PBT," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X