Rabu, 10 Jun 2020 | 3:55pm

Kedai gunting rambut 'diserbu'

KUALA LUMPUR: Orang ramai khususnya golongan lelaki 'menyerbu' kedai gunting rambut hari ini selepas kali pertama ia dibenarkan beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Tinjauan mendapati mereka sanggup beratur di luar untuk memasuki premis bergilir-gilir untuk memastikan rambut yang sudah 'mengerbang' atau 'terpacak' hampir tiga bulan itu dirapikan dengan segera.

Meskipun tukang gunting rambut menaikkan kos gunting antara RM3 ke RM4, mereka sanggup membayar demi keselesaan dan perapian diri.

Pekerja Swasta, Zahiruddin Jaidir, 43, berkata dia 'mencuri masa' dan sanggup tidak makan tengah hari untuk beratur dan menggunting rambut kerana sudah tidak tahan dengan rambut yang tidak dipotong sejak beberapa bulan lalu.

"Orang lihat mudah bagi lelaki untuk memotong rambut tetapi ia perlu dilakukan dengan betul iaitu ke kedai gunting rambut.

"Apabila kerajaan memutuskan premis ini boleh beroperasi, saya segera mencari kedai gunting yang sesuai kerana sudah lama menahan rasa untuk memotong rambut," katanya kepada BH.

Orang ramai menunggu giliran di sebuah kedai gunting rambut di pusat beli-belah Paradigm - Foto NSTP/Khairul Azhar Ahmad.
Orang ramai menunggu giliran di sebuah kedai gunting rambut di pusat beli-belah Paradigm - Foto NSTP/Khairul Azhar Ahmad.

Nor Adib Fikri, 24, juga tidak ketinggalan berbuat demikian kerana merasakan ia seperti 'tanggungjawab' yang harus ditunaikan segera.

"Saya ke dua tiga kedai tetapi semuanya padat dengan pelanggan dan ia membuktikan ramai golongan lelaki menyimpan hasrat memotong rambut sudah terlalu lama, termasuklah saya," katanya.

Zafir Alam Zakharia, 24, pula berkata sejak semalam dia mencari kedai gunting rambut yang betul-betul memenuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan dia tidak terkesan dengan wabak COVID-19.

Sementara itu, tinjauan BH di beberapa lokasi di Lembah Klang mendapati kebanyakan kedai gunting rambut dan salun sudah dibuka sejak jam 9 pagi dan SOP turut dipatuhi pemilik premis masing-masing.

Seorang pengusaha kedai potong rambut, Grace Kong memaklumkan keadaan agak kelam kabut pada hari pertama hari ini kerana perlu mematuhi SOP, lebih-lebih lagi ia baru diperoleh semalam daripada The Malaysian Hairdressing Association (MHA) dan perlu menyediakan segala peralatan dalam masa singkat.

"Kami perlu membuat penjarakan sosial tempat duduk pelanggan dengan menampal tanda X pada tempat duduk yang tidak dibenarkan selain menyediakan plastik penutup tubuh pelanggan pakai buang.

"Ini kerana kami tidak boleh menggunakan kain penutup biasa seperti kebiasaan atas faktor kebersihan selain kami juga perlu memakai pelitup muka dan penghadang muka (face shield) ketika memotong rambut pelanggan serta sarung tangan pakai buang," kata pemilik premis di Seksyen 18C, Shah Alam.

Beliau menjelaskan, pelanggan dimestikan membuat temu janji sebelum datang ke kedai untuk menghadkan jumlah pelanggan kerana maksimum hanya enam pelanggan dibenarkan mendapatkan khidmat mereka pada satu sesi.

"Setiap pelanggan dihadkan hanya sejam untuk berada di dalam kedai untuk semua jenis perkhidmatan yang disediakan termasuk segala jenis rawatan rambut dan mewarna rambut," katanya.

Sementara itu, Rana yang memiliki tiga kedai gunting rambut di Shah Alam berkata, beliau dan pekerjanya tidak 'menang tangan' sejak jam 9 pagi tadi kerana terlalu ramai pelanggan yang datang untuk menggunakan perkhidmatan mereka.

"Biasanya saya akan bergilir-gilir ke tiga premis untuk memantau situasi tetapi hari ini saya tidak sempat berbuat demikian sebaliknya hanya fokus dengan kedai di Seksyen 13, Shah Alam.

"Bagaimanapun saya difahamkan, dua kedai pun ramai pelanggan dan tidak menang tangan kerana pelanggan tidak berhenti datang sejak pagi tadi. Mungkin mereka sudah lama menunggu untuk rambut digunting," katanya.

Beliau menjelaskan, segala SOP dipatuhi dan setiap kali rambut pelanggan digunting, plastik yang digunakan akan dibuang malah beberapa peralatan diganti untuk memastikan kebersihan dan kesihatan.

"Kita pastikan pelanggan tidak berkumpul ramai di dalam kedai sebaliknya menunggu di luar malah kerusi untuk proses menggunting juga dijarakkan dengan jauh," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Keadaan di sebuah kedai gunting rambut yang ‘diserbu’ orang ramai sejak pagi - Foto NSTP/ Ilah Hafiz Aziz
    Keadaan di sebuah kedai gunting rambut yang ‘diserbu’ orang ramai sejak pagi - Foto NSTP/ Ilah Hafiz Aziz
    Berita Harian X