Rabu, 10 Jun 2020 | 9:31am
Semua masjid dan surau di Perak kembali dibuka kepada orang awam bermula Jumaat ini dengan bilangan jemaah dihadkan kepada 40 orang, susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.NSTP/ADZLAN SIDEK
Semua masjid dan surau di Perak kembali dibuka kepada orang awam bermula Jumaat ini dengan bilangan jemaah dihadkan kepada 40 orang, susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.NSTP/ADZLAN SIDEK

Perak benarkan solat jemaah di masjid, surau

IPOH: Semua masjid dan surau di Perak kembali dibuka kepada orang awam bermula Jumaat ini dengan bilangan jemaah dihadkan kepada 40 orang, susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari, berkata kebenaran itu diputuskan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selepas mempertimbangkan sembah nasihat daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak (JFNPk).

Katanya, bagi solat Jumaat, bilangan jemaah ditetapkan seramai 40 orang membabitkan 40 ahli Jumaat di sesebuah kariah.

Bagi solat fardu berjemaah pula, ia mestilah tidak melebihi 40 orang, tidak termasuk pegawai masjid serta ahli jawatankuasa kariah masjid atau surau.

Shahrul Azam berkata, bagaimanapun kebenaran menunaikan kedua-dua solat itu setakat ini hanya dibenarkan kepada warganegara Malaysia dengan identiti jemaah yang hadir mesti disemak dan direkodkan sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat.

"Penggunaan masjid, surau diri Jumaat dan surau untuk pelaksanaan solat berkenaan hendaklah mematuhi sepenuhnya garis panduan dan prosedur yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan mengeluarkan satu garis panduan dan kaedah terkini pelaksanaan kedua-dua solat terbabit," katanya.

Beliau berkata, semua Pengerusi Jawatankuasa Kariah masjid dan surau di negeri itu dikehendaki menyelia dan memastikan garis panduan berkenaan dipatuhi.

Kebenaran itu tegas beliau diputuskan selepas mempertimbangkan mengenai kelonggaran yang diberi susulan PKPP yang berkuatkuasa bermula hari ini.

Berita Harian X