Isnin, 8 Jun 2020 | 1:52pm
Mohd Nor ketika ditemui di premisnya di Jalan Sekolah Derma sebelum pelaksanaan PKP. - NSTP/Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Mohd Nor ketika ditemui di premisnya di Jalan Sekolah Derma sebelum pelaksanaan PKP. - NSTP/Dziyaul Afnan Abdul Rahman

'Suka atau tidak, kena patuh jugalah'

KANGAR: Suka atau tidak, prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan terhadap pengusaha gunting rambut, perlu memastikan kelangsungan usaha mencari rezeki.

Demikian luahan tukang gunting rambut tradisional, Mohd Nor Said, 80, ketika mengulas arahan Kementerian Kesihatan (KKM) agar pengusaha mengenakan apron, pelitup muka dan sarung tangan ketika memberi perkhidmatan kepada pelanggan.

Mohd Nor berkata, meskipun arahan itu adalah perkara baharu, beliau berpendapat tiada jalan lain dapat dilakukan, selain mematuhi arahan terbabit kerana sudah lebih dua bulan kedainya tidak dapat dibuka.

"Kita patuh sahajalah demi kebaikan bersama. Apa yang disuruh itu, saya akan buat, malah ketika ini juga saya sedang membuat persiapan seadanya.

"Kedai saya sudah diambil balik pemiliknya. Kini saya terpaksa beroperasi di rumah dan semestinya peluang yang diberikan kerajaan tidak akan saya lepaskan.

"Malah saya menetapkan penjarakan sosial di antara pelanggan, selain meminta mereka menelefon terlebih dahulu, jika mahu datang ke rumah untuk bergunting rambut," katanya ketika ditemui hari ini.

Tukang gunting, Khizairi Khizan, 38, akur arahan itu meskipun terpaksa mengeluarkan kos yang lebih bagi menyediakan peralatan baharu seperti set apron dan sarung tangan.

"Daripada tiada apa langsung, baik saya terima sahajalah untuk peringkat permulaan ini kerana kedai pun sudah hampir tiga bulan tidak dibuka kepada pelanggan tetapi sewa tetap perlu dibayar.

"Malah saya juga sudah bersedia jika keuntungan tidak sama seperti dahulu kerana masih mengekalkan harga lama, jadi memang reda dan bersyukur sekurang-kurangnya kerajaan sudah beri peluang kedai beroperasi," katanya.

Kerajaan semalam mengumumkan membenarkan operasi kedai gunting rambut, salun kecantikan, pasar malam, pasar pagi dan bazaria selepas tamat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Rabu ini, namun menetapkan SOP tertentu dalam usaha mengawal COVID-19.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X