Ahad, 7 Jun 2020 | 10:13pm
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir. - Foto Hamzah Osman
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir. - Foto Hamzah Osman

1,000 tempah hotel dalam 45 minit

LANGKAWI: Fenomena luar biasa. Itulah kesimpulan terhadap jumlah tempahan bilik hotel di pulau ini mencatat rekod 1,000 tempahan dalam tempoh 45 minit, hari ini.

Ini berikutan pengumuman kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan domestik menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula Rabu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir berkata, sebanyak 1,000 tempahan bilik diterima dalam tempoh 45 minit bermula jam 4 petang tadi.

"Lebih mengujakan apabila 700 daripada tempahan berkenaan sudah membuat pembayaran, sekali gus memberi petanda amat positif kepada industri pelancongan Langkawi.

"Malah, tempahan terus mencurah-curah masuk hingga malam ini membabitkan hotel tiga bintang dan ke atas sekitar Pantai Tengah dan Chenang untuk bercuti minggu hadapan," katanya ketika dihubungi di sini.

Zainudin berkata, Langkawi memiliki keseluruhan 13,000 bilik penginapan dan lonjakan kemasukan pelancong luar biasa itu tidak membawa sebarang masalah.

"Pengusaha hotel juga sudah bersedia dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) mengekang COVID-19 seperti digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum pelanggan masuk menginap.

"Bagi merancakkan kemasukan pelancong, syarikat penerbangan perlu beroperasi secara maksimum, selain tiada kenaikan tiket feri dalam tempoh terdekat," katanya.

Sementara itu, pengusaha kereta sewa, Mohd Faizal Hisham Husin, 38, turut mengakui tempahan kereta sewa pandu sendiri mencurah-curah diterima sejak 4 petang tadi.

"Ya, tempahan melonjak luar biasa sejurus Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selesai memberikan perutusan khas berkenaan status perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) petang tadi.

"Insya-Allah, sektor pelancongan Langkawi boleh bangkit dalam tempoh terdekat jika fenomena luar biasa ini berterusan," katanya.

Berita Harian X