Ahad, 7 Jun 2020 | 1:44pm
Menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) kerajaan akan memperkenalkan Program MY30 di mana pengguna hanya perlu membayar RM30 sahaja sebulan untuk menikmati pas perjalanan tanpa had bagi pengangkutan awam di bawah seliaan Prasarana Malaysia Berhad di Lembah Klang mulai 15 Jun ini. - Foto BERNAMA

Program MY30 beri manfaat kepada sejuta pengguna

TELUK INTAN: Kira-kira sejuta pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang akan menerima manfaat menerusi Program MY30 yang hanya perlu membayar RM30 sebulan untuk menikmati pas perjalanan tanpa had.

Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berkata, program itu membabitkan empat perkhidmatan iaitu Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), KL monorail dan bas Rapid KL.

Katanya, program yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (PENJANA), Jumaat lalu dapat meringankan beban rakyat yang menggunakan perkhidmatan awam.

"Dalam sebulan, hampir 24 juta pengguna menggunakan empat kemudahan itu dan semua warganegara mereka akan mendapat faedah diumumkan kerajaan menerusi Prasarana.

"Pengguna akan diberikan pas dengan hanya membayar RM30 dan boleh ke mana saja.

"Program ini dapat mengurangkan kos perjalanan rakyat," katanya selepas melawat pusat pemindahan sementara mangsa banjir di Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap, Teluk Intan, hari ini.

TAJUDDIN (kanan) berbual dengan mangsa banjir, Salwa Hashim, 54, melawat pusat pemindahan sementara mangsa banjir, di Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap, Teluk Intan, hari ini. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi

Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak, berkata perincian mengenai program terbabit akan dijelaskan pada pelancaran program itu yang dijangka pada, 16 Jun ini.

Jumaat lalu, Muhyiddin ketika mengumumkan PENJANA berkata, program MY30 diperkenalkan dengan bayaran RM30 sebulan untuk pas perjalanan tanpa had bagi pengangkutan awam di bawah seliaan Prasarana di Lembah Klang yang terbuka kepada semua warganegara berkuatkuasa 15 Jun hingga hujung Disember ini.

Berita Harian X