Sabtu, 6 Jun 2020 | 7:12pm
Kakitangan pusat dandanan rambut The Barber Club, Ahmad Safwan Naseri menggunakan cecair nyah kuman ke atas peralatan menggunting bagi persiapan pembukaan selepas kerajaan mengumumkan keputusan sektor ekonomi dandanan rambut dibenarkan beroperasi semula mengikut SOP. - Foto NSTP/ Aziah Azmee
Kakitangan pusat dandanan rambut The Barber Club, Ahmad Safwan Naseri menggunakan cecair nyah kuman ke atas peralatan menggunting bagi persiapan pembukaan selepas kerajaan mengumumkan keputusan sektor ekonomi dandanan rambut dibenarkan beroperasi semula mengikut SOP. - Foto NSTP/ Aziah Azmee

'Mohon permudahkan agihan PENJANA'

KUALA LUMPUR: Persatuan Jurugaya Rambut India Selangor dan Wilayah Persekutuan meminta kerajaan mempermudahkan agihan insentif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan semalam.

Persatuan itu yang menyambut baik pengumuman kerajaan membenarkan kedai gunting rambut beroperasi semula mahu supaya pengusaha kedai gunting rambut mendapat manfaat sewajarnya daripada PENJANA.

Pengerusinya, Ganathiban Murugan, berkata kebenaran beroperasi semula amat dinantikan selepas hampir tiga bulan tidak beroperasi selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19.

"Kami berterima kasih di atas dasar yang diperkenalkan kerajaan seperti Geran Khas Prihatin, kemudahan pinjaman dan PENJANA bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Bagaimanapun masih ramai pengusaha kedai gunting rambut tidak berjaya mendapatkan pinjaman berkenaan.

"Justeru, kami berharap kerajaan dapat membantu mempermudahkan urusan pengusaha kedai gunting rambut yang terjejas untuk mendapatkan insentif berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ganathiban berkata, ia secara tidak langsung meringankan beban pengusaha kedai gunting rambut yang perlu mengeluarkan modal bagi membeli kelengkapan perlindungan diri (PPE) berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk beroperasi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hariannya hari ini mengumumkan perkhidmatan gunting rambut dan salun kecantikan dibenarkan beroperasi semula dengan SOP yang ketat bermula 10 Jun ini.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira sumbangan sektor berkenaan yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah Rm13.5 bilion setahun.

Berita Harian X