X
Sabtu, 6 Jun 2020 | 5:42pm
KESATUAN Guru Bumiputera Sarawak (KGBS)
KESATUAN Guru Bumiputera Sarawak (KGBS)

Kurang penerbangan, tiket terlalu mahal sukarkan guru kembali ke Sarawak

KUCHING: Kira-kira 2,000 guru dari luar Sarawak kini menghadapi masalah untuk kembali ke negeri ini selepas bercuti sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan harga tiket penerbangan yang terlalu mahal selain kekurangan penerbangan antara wilayah ketika ini.

Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS), Ahmad Malie, berkata pihaknya menerima banyak aduan dari pada guru ekoran masalah itu yang mungkin menghalang mereka untuk berada di sekolah masing-masing esok, seperti yang diarahkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Katanya, KGBS kesal dengan harga tiket penerbangan terlalu tinggi itu sehingga menimbulkan kesulitan kepada guru untuk balik bertugas di sekolah masing-masing.

"Berdasarkan maklumat yang KGBS terima, didapati harga tambang penerbangan untuk seorang seperti tidak masuk akal kerana mencecah lebih RM1,000 sehala.

"Harga tambang seperti ini sudah pasti menyulitkan terutamanya bagi guru yang mempunyai ahli keluarga yang ramai," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru katanya, KGBS merayu supaya syarikat penerbangan mempertimbangkan untuk menurunkan harga tiket penerbangan yang mampu dibeli oleh penumpang.

"KGBS membuat rayuan ini agar guru-guru dapat balik ke sekolah masing-masing selepas cuti persekolahan ini tamat dan akur kepada surat arahan daripada KPM sebelum ini," katanya.

Bagaimanapun katanya, KGBS sedikit lega dengan usaha Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) yang mendapat kerjasama daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sarawak Volunteers untuk menangani masalah itu dengan NGO terbabit akan bertindak menyelaras penerbangan guru berkenaan.

"Saya berharap, guru mengambil peluang yang dirancang dan diurus oleh JPNS dengan kerjasama Sarawak Volunteers untuk memudahkan penerbangan mereka balik ke Sarawak dan mereka perlu berhubung dengan NGO itu untuk maklumat lanjut," katanya.

Katanya lagi, KGBS sudah mengemukakan masalah itu kepada JPNS pada mesyuarat semalam dan guru-guru yang terkandas ekoran ketiadaan penerbangan itu diberi kelonggaran untuk kembali lewat sedikit.

"Guru-guru yang terkandas itu harus menulis surat kepada pengetua atau guru besar di sekolah masing-masing untuk memaklumkan masalah yang dihadapi.

"Perkara itu (kelewatan kembali ke sekolah) sudah kami bincangkan pada mesyuarat prosedur operasi standard (SOP) pembukaan sekolah semalam dan pihak atasan memahami situasi yang dihadapi sekarang," katanya.

Berita Harian X