Sabtu, 6 Jun 2020 | 3:52pm
 Pemandangan Kampung Baru dilitupi bangunan pencakar langit bandar raya metropolitan Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA
Pemandangan Kampung Baru dilitupi bangunan pencakar langit bandar raya metropolitan Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA

'Lembaga Pentadbiran MAS sudah tak relevan urus Kampung Baru'

KUALA LUMPUR: Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) kini tidak lagi relevan dalam menjalankan fungsi pentadbiran tanah serta perancangan dan pengurusan perbandaran di Kampung Baru.

Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB), berkata ia berdasarkan pandangan perundangan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC), serta surat daripada pejabat Menteri Wilayah Persekutuan kepada Lembaga Pentadbiran MAS bertarikh 13 Februari lalu.

PKB menjelaskan, keputusan itu juga dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2 Disember tahun lalu, yang menyerahkan sebarang urusan berhubung status Lembaga Pentadbiran MAS kepada Kementerian Wilayah Persekutuan untuk diselesaikan mengikut peruntukan undang-undang semasa.

Menurut PKB, Kaedah-Kaedah MAS perlu dimansuhkan memandangkan fungsi pentadbiran tanah di Kampung Baru kini dilaksanakan sepenuhnya Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL).

"Fungsi pentadbiran tanah di Kampung Baru dilaksanakan sepenuhnya oleh PTGWPKL dan bukannya di bawah Kaedah-Kaedah MAS berdasarkan peruntukan kepada subseksyen 5(1) Akta Perlembagaan 1973 (Akta A206).

"Kaedah-Kaedah MAS hendaklah dimansuhkan kerana Lembaga Pentadbiran MAS tidak lagi mempunyai apa-apa fungsi memandangkan kebanyakan tanah MAS sudah menjadi tanah beri milik, dan tanah yang tinggal hanya menunggu masa untuk diberi milikan," kata PKB dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, PKB berkata, perkara berkaitan perancangan dan pengurusan perbandaran Kampung Baru ketika ini adalah di bawah bidang kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengikut Akta Wilayah Persekutuan (Perancangan) 1982, Akta Bandaraya Kuala Lumpur 1973, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Sehubungan itu, kata PKB, Lembaga Pentadbiran MAS tidak lagi boleh terbabit dalam pengurusan perbandaran, termasuk pengeluaran permit penjajaan, kutipan bayaran tempat letak kereta dan sewa ruang iklan.

Selain itu, Lembaga Pentadbiran MAS juga tidak boleh terbabit dalam kawalan pembangunan, termasuk mengeluarkan kelulusan perintah pembangunan, pelan bangunan, pelan kejuruteraan, permit kerja bangunan dan kerja tanah, penutupan jalan awam dan kebenaran menduduki bangunan.

"Bagaimanapun, Kementerian Wilayah Persekutuan mengalu-alukan pembabitan Lembaga Pentadbiran MAS sebagai badan bukan kerajaan (NGO) atau syarikat perunding dalam membantu urusan penyelesaian harta pusaka dan tanah dalam kalangan penduduk di Kampung Baru," katanya.

Berita Harian X