X
Selasa, 2 Jun 2020 | 7:29pm
Wakil Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP menyerahkan sumbangan set PPE daripada GlaxoSmithKline kepada petugas barisan hadapan Hospital Kuala Lumpur.
Wakil Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP menyerahkan sumbangan set PPE daripada GlaxoSmithKline kepada petugas barisan hadapan Hospital Kuala Lumpur.

GSK Malaysia sumbang RM325,000 kepada barisan hadapan

KUALA LUMPUR: GSK Malaysia mengumumkan sumbangan RM325,000 kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP bagi menyokong usaha mengawal penularan COVID-19 di negara ini.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu memaklumkan sumbangan digunakan untuk pembelian peralatan pelindung diri (PPE) dan peralatan perubatan kritikal bagi kegunaan kakitangan barisan hadapan.

Pengarah dan Pengurus Besar GlaxoSmithKline Consumer Healthcare Sdn Bhd, Bryan Wong berkata, sumbangan ini satu bentuk sokongan pihaknya kepada petugas perubatan yang berkerja keras memastikan pandemik ini berakhir.

"Kami begitu mengagumi keberanian petugas barisan hadapan merawat pesakit di seluruh negara dan berdepan risiko untuk terdedah kepada virus yang boleh membunuh.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua petugas kesihatan di seluruh negara, yang juga hero sebenar rakyat, dan berhak mendapat bekalan PPE secukupnya," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd, Lien Pham Thi My berkata, situasi wabak yang cepat menular mengganggu kehidupan berjuta orang di seluruh dunia.

"Bagi memikul tanggungjawab secara bersama, kami berhasrat untuk membantu sistem penjagaan kesihatan Malaysia dalam menangani wabak COVID-19.

"Kami berharap sumbangan disalurkan melalui dana ini dapat membantu mengurangkan beban hospital dan penyedia perkhidmatan kesihatan dalam usahanya memerangi COVID-19," katanya.

Kenyataan itu menjelaskan, di peringkat antarabangsa, GSK Global bekerjasama dengan Sanofi bagi membangunkan vaksin untuk memerangi COVID-19.

"GSK Global menyumbang AS$10 juta (RM42 juta) kepada COVID-19 Solidarity Response Fund, yang ditubuhkan Yayasan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia), untuk menyokong mereka mencegah, mengesan dan mengurus wabak," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X