Ahad, 31 Mei 2020 | 9:27pm
Aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak memasuki Kuala Lumpur sebelum Plaza Tol Gombak hari ini. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak memasuki Kuala Lumpur sebelum Plaza Tol Gombak hari ini. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

3 laluan utama masuk ke KL hari ini terkawal

KUALA LUMPUR: Sebanyak 6,103 kenderaan direkodkan melalui tiga Sekatan Jalan Raya (SJR) utama memasuki ibu negara sejak jam 7 pagi hingga 1 tengah hari tadi.

Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, memaklumkan keadaan lalu-lintas dilaporkan terkawal di Plaza Tol Duta, Plaza Tol Sungai Besi dan Plaza Tol Gombak.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, berkata keadaan lalu lintas juga dilaporkan lancar selepas pihaknya memastikan panjang barisan kenderaan sebelum lokasi SJR adalah antara 50 hingga 100 meter.

"Untuk perjalanan hari ini JSPT merekodkan jumlah permohonan untuk perjalanan rentas negeri adalah sebanyak 4,914 dan jumlah yang diluluskan adalah sebanyak 4,702.

"Mereka diberikan kebenaran selepas didapati memenuhi segala syarat yang ditetapkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini," katanya kepada BH hari ini.

Aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak memasuki Kuala Lumpur sebelum Plaza Tol Gombak hari ini. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak memasuki Kuala Lumpur sebelum Plaza Tol Gombak hari ini. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

Beliau berkata walaupun terdapat kesesakan kecil di beberapa lokasi lain disebabkan pemeriksaan ketat dan terperinci, keadaan tetap terkawal dan lalu-lintas bergerak lancar.

"Setakat ini kawalan polis trafik melalui SJR akan tetap diteruskan 24 jam setiap hari sehingga PKPB berakhir namun terpulang kepada sebarang arahan terbaru kerajaan dan Ketua Polis Negara," katanya.

Berdasarkan statistik hari ini sebanyak 2,754 kenderaan diperiksa di SJR Plaza Tol Jalan Duta, dan empat kenderaan diarahkan berpatah balik dan tiada sebarang kompaun dikeluarkan.

Di SJR Plaza Tol Sungai Besi sebanyak 2,633 kenderaan diperiksa dan lima kenderaan diarahkan untuk berpatah-balik manakala di SJR Plaza Tol Gombak sebanyak 716 kenderaan diperiksa dan empat kenderaan dikenakan kompaun.

Berita Harian X