Ahad, 31 Mei 2020 | 2:48pm
Tuan Ibrahim (empat dari kiri) ketika mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor (tengah) bagi membincangkan isu bekalan air dan alam sekitar bersama kerajaan negeri di Wisma Darul Aman hari ini
Tuan Ibrahim (empat dari kiri) ketika mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor (tengah) bagi membincangkan isu bekalan air dan alam sekitar bersama kerajaan negeri di Wisma Darul Aman hari ini

Atasi paip bocor Pulau Langkawi antara keutamaan Kerajaan Pusat

ALOR SETAR: Projek baik pulih saluran paip bocor dari tanah besar ke Pulau Langkawi serta kerja membesarkan takungan air pulau itu yang dianggarkan bernilai RM600 juta akan dimulakan suku pertama tahun depan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata projek itu menjadi antara keutamaan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan bekalan air di pulau berkenaan mencukupi bagi kegunaan domestik dan sektor pelancongan.

Beliau berkata, apabila siap kelak, projek itu akan memberi manfaat kepada penduduk pulau berkenaan sehingga tahun 2040, tanpa sebarang gangguan bekalan air.

"Masalah besar kita hadapi sekarang adalah gangguan bekalan air di Pulau Langkawi, kerana kira-kira tiga kilometer paip dari tanah besar ke Langkawi perlu dibaik pulih dan selain keperluan membesarkan takungan air di sana.

"Alhamdulillah, kita mendapat kerjasama baik kerajaan negeri bagi mengatasi masalah air di Langkawi termasuk di tanah besar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkaitan bekalan air dan alam sekitar bersama kerajaan negeri di Wisma Darul Aman hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, empat daripada lima projek Loji Rawatan Air (LRA) di negeri ini sudah diberi tender untuk dinaik taraf dan dijangka siap pada 2022.

Katanya LRA terbabit adalah LRA Bukit Selambau (RM147.78 juta), LRA Sungai Limau (RM108.41 juta), LRA Jenun Baru (RM161.98 juta), LRA Lubuk Buntar Lama (RM57.42 juta).

"Satu lagi LRA iaitu LRA Pelubang (RM455.98 juta) belum diberi tender, semua kos ini akan membabitkan nilai sebanyak RM930 juta.

"Empat LRA ini akan siap pada 2022, bagaimanapun bagi LRA Bukit Selambau dijangka siap lebih awal berikutan kerja naik tarafsudah dijalankan,"katanya.

Sementara itu, dalam lawatan kerja Tuan Ibrahim ke negeri ini, beliau turut membincangkan kesiapsiagaan kerajaan negeri dalam menghadapi musim kering dijangka bermula Julai ini.

Beliau turut memberitahu, di bawah Rancangan Malaysia ke 11 (RMKe-11), sebanyak 24 projek alam sekitar dan air telah diluluskan kepada negeri Kedah membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM4.44 bilion.

Berita Harian X