Sabtu, 30 Mei 2020 | 10:12am
Penutupan kedai gunting menyebabkan lelaki yang tidak gemar berambut panjang terpaksa mendapatkan bantuan pasangan hidup untuk menjadi tukang gunting.
Penutupan kedai gunting menyebabkan lelaki yang tidak gemar berambut panjang terpaksa mendapatkan bantuan pasangan hidup untuk menjadi tukang gunting.

PKPB: Pasangan hidup jadi tukang gunting

KUALA LUMPUR: Tidak tahan melihat rambut suami yang panjang dan 'serabai' mengembang persis watak Wolverine – adiwira dalam filem X-Men -, penggiat seni, Shirley Idris, 52, menawarkan diri untuk menggunting rambut suaminya itu.

Biarpun suaminya, Nasir Mohd Yaacob, 53, sedikit cuak kerana ini percubaan kali pertama isterinya berbuat demikian, beliau tidak mempunyai pilihan lain kerana tukang gunting rambutnya juga enggan menawarkan perkhidmatan tersebut bagi mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sebenarnya, saya yang tawarkan diri nak potong rambut suami, sebab rimas tengok rambutnya yang semakin panjang. Walaupun ada sedikit keraguan, dia pasrah. Tengah musim PKP kan, kedai gunting rambut pun tak buka," katanya.

Nasir adalah antara ribuan masyarakat yang menghadapi masalah apabila perkhidmatan kedai gunting dan dandanan rambut, masih belum dibenarkan beroperasi sejak PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lepas.

Kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meneliti prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pengoperasian kedai gunting rambut dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum mencadangkan sama ada premis itu boleh dibuka atau sebaliknya.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata kerajaan perlu mendapatkan nasihat daripada KKM sebelum membenarkan kedai gunting rambut dibuka susulan rayuan daripada pengusaha kedai itu yang memohon agar perniagaan mereka dibenarkan beroperasi setelah kehilangan pendapatan sejak PKP dikuatkuasakan.

Berbeza pula bagi penjawat awam, Fairus Mohd, 36, yang tidak tahan dengan masalah keguguran rambut selepas enam bulan melahirkan anak sulungnya.

Keadaan itu memerlukan bantuan daripada suaminya, Mohd Faris Hilmie Ali, 30, untuk memotong pendek rambutnya.

"Saya alami masalah rambut gugur selepas enam bulan bersalin. Saya jadi rimas. Lagi pun di musim PKP, salun pula tak buka, jadi saya suruh suami potong pendek rambut. Alhamdulillah, selepas memotong pendek rambut, kepala saya jadi ringan dan saya juga puas hati dengan cara potongannya," katanya.

Turut senada, pegawai bank, Muhammad Aidil Ahmad Nazri, 26, yang beruntung kerana abangnya, Muhammad Azlan mempunyai kemahiran menggunting rambut.

"Tidak kisahlah kalau potongan rambut itu tidak berapa cantik, yang penting rambut nampak kemas dan tidak terlalu panjang. Sebenarnya, cara ini (meminta bantuan ahli keluarga atau rakan) dapat mengeratkan lagi hubungan kita dengan mereka," katanya.

Lain pula cerita bagi Suhaizul Izhar Ismail yang memilih untuk memotong sendiri rambutnya. Lebih selesa berimej botak, jurugambar itu sanggup menghabiskan masa kira-kira sejam di hadapan cermin memotong rambut menggunakan mesin gunting rambut. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X