Selasa, 19 Mei 2020 | 6:19pm

Hampir separuh kes COVID-19 berkaitan kluster Seri Petaling

KUALA LUMPUR: Sebanyak 927 kes yang sebelum ini dikelaskan masih dalam siasatan (PUI), disahkan ada hubung kait dengan perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia sekali gus menjadikan jumlah kes COVID-19 membabitkan kluster itu meningkat kepada 3,347 kes berbanding 2,375 sebelum ini.

"Ini bermakna kluster dan subkluster Seri Petaling menyumbang 48 peratus daripada jumlah kes COVID-19 di Malaysia.

"Kluster ini membabitkan lima generasi dan sekarang, kita melihat kematian dalam kluster tabligh ada 33 kes atau bersamaan 0.99 peratus," katanya pada sidang media harian COVID-19, hari ini.

Beliau berkata, pengesahan itu diperoleh hasil siasatan lanjut oleh pejabat kesihatan daerah serta Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga sudah berhubung dengan lebih 1,000 sekolah tahfiz persendirian di seluruh negara, dan pihaknya berharap mereka dapat bekerjasama menjalani ujian saringan pengesanan COVID-19.

Beliau berkata, ada sekolah terbabit ditutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"KKM merayu supaya mereka tampil menjalani ujian saringan pengesanan COVID-19.

"Diharap kenal pasti sekolah dan maahad tahfiz ditingkatkan supaya ujian saringan pengesanan COVID-19 dapat dilaksanakan terhadap pelajar, guru dan kakitangan mereka," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - FOTO BERNAMA
    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - FOTO BERNAMA
    Berita Harian X