Isnin, 18 Mei 2020 | 11:35am
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO/BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO/BERNAMA

Perangi rasuah habis-habisan

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggesa kerajaan terus komited dalam melaksanakan pelan anti rasuah nasional.

Baginda juga menyeru semua pihak mendukung aspirasi ini supaya setiap agenda pembangunan negara tidak terhakis oleh amalan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

"Tanamkan dalam minda masyarakat semenjak di bangku sekolah lagi bahawa rasuah adalah jijik, kotor dan wajar diperangi habis-habisan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat, hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, apa juga pelan dan program ke arah pembentukan sebuah negara maju yang stabil lagi makmur tidak akan tercapai jika negara terus dibelenggu amalan rasuah.

"Justeru, pelaksanaan program pembangunan berteraskan amalan integriti dan tadbir urus yang baik penting bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan serta demi menjaga kesejahteraan rakyat dan negara," titah baginda.

Dalam pada itu, baginda menzahirkan penghargaan terhadap taat setia dan sumbangan anggota perkhidmatan awam, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi kerajaan yang mencurahkan khidmat bakti dalam usaha memajukan negara.

"Beta menyeru amanah dan tanggungjawab yang dijunjung dalam berbakti kepada negara dan rakyat jelata hendaklah terus dilaksanakan dengan sebaiknya secara profesional dan neutral tanpa mengira kaum, agama mahupun kedudukan.

"Pada masa sama, beta menyeru rakyat terus memberi kerjasama kepada kerajaan bagi meneruskan kesinambungan usaha-usaha pembangunan negara," titah baginda.

Berita Harian X