Khamis, 14 Mei 2020 | 11:55pm
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

PKPB: JPJ buka perkhidmatan kaunter sepenuhnya mulai Isnin

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuka perkhidmatan kaunter sepenuhnya, termasuk di cawangan Pos Malaysia, bagi semua urusan, bermula Isnin ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata ketika ini, kakitangan JPJ di seluruh negara dalam persiapan terakhir untuk digerakkan sepenuhnya bagi memulakan pengoperasian, termasuk memastikan langkah dari aspek keselamatan dan kesihatan dipenuhi.

Beliau berkata, beberapa penyelarasan rutin juga dimuktamadkan antara JPJ dengan bank berkaitan bagi memastikan perkhidmatan JPJ dapat kembali normal pada minggu depan.

"Sebelum ini, JPJ telah membuka perkhidmatan kaunter secara berperingkat susulan keputusan kerajaan untuk membuka semula sektor ekonomi negara menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Hanya urus niaga tertentu dibenarkan beroperasi di kaunter hingga 17 Mei ini. Antara senarai urus niaga berkenaan ialah pembaharuan Lesen Memandu Malaysia dan Lesen Vokasional (GDL dan PSV) bagi pemandu kenderaan perdagangan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, JPJ juga akan terus beroperasi tujuh hari seminggu bertujuan membolehkan urus niaga tertunggak diselesaikan secepat mungkin untuk mengelakkan kesesakan pelanggan kedua-dua urusan perdagangan dan individu.

"Pengoperasian ini akan berterusan sehingga arahan pemberhentian diumumkan kelak, manakala waktu operasi pula adalah dari jam 8 pagi hingga 4 petang pada hari bekerja dan 8 pagi hingga 1 tengah hari pada hujung minggu (Jumaat dan Sabtu di beberapa negeri berkaitan).

"Pembayaran secara tunai bagi semua urusan di cawangan JPJ adalah dibenarkan hanya pada 8 pagi hingga 11 pagi, sementara pembayaran tanpa tunai atau e-payment termasuk transaksi melalui kad debit dan kad kredit pula diterima mulai jam 8 pagi hingga 4 petang pada hari bekerja," katanya.

Beliau berkata, hanya pada hari minggu, pembayaran secara e-payment dibenarkan untuk semua urusan.

"Diingatkan bahawa kenderaan persendirian masih tertakluk kepada pengecualian pembaharuan Lesen Kenderaan Motor dan Lesen Memandu dalam tempoh PKP dengan syarat kenderaan itu masih dilindungi dengan perlindungan insurans yang sah," katanya.

Sempena musim perayaan Aidilfitri pula, beliau berkata, perkhidmatan kaunter JPJ akan ditutup mulai 23 Mei hingga 26 Mei ini, dan kembali beroperasi pada 27 Mei.

"Saya ingin mengingatkan orang ramai dan kakitangan agensi supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dalam usaha bersama mencegah penularan wabak COVID-19," katanya. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X