Selasa, 12 Mei 2020 | 6:17pm
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

JPJ beroperasi tujuh hari seminggu

PUTRAJAYA: Kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan beroperasi selama tujuh hari seminggu, bagi membolehkan urus niaga tertunggak diselesaikan secepat mungkin, serta mengelakkan kesesakan pelanggan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata pelaksanaan operasi tujuh hari seminggu bagi kaunter JPJ di Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu akan bermula Jumaat ini, manakala negeri-negeri lain pada Sabtu.

"Operasi tujuh hari seminggu ini akan berterusan sehingga arahan pemberhentian dikeluarkan. Bagaimanapun, ia dikecualikan bagi hari cuti am yang diisytiharkan oleh kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, masa operasi bagi hari Sabtu dan Ahad/Jumaat dari 8 pagi hingga 1 tengah hari dengan kutipan hasil hanya melalui transaksi 'e-payment'.

Ka Siong dalam pada itu berkata, JPJ akan membuka semula transaksi di kaunter secara berfasa mulai esok (13 Mei) selepas ditutup sejak 20 Mac lalu, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mulai 13 Mei, kaunter JPJ di seluruh negara akan kembali memulakan transaksi membabitkan tiga urusan seperti cetakan Vehicle Ownership Certificate (VOC) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) kali pertama bagi tukar hak milik dan pendaftaran baharu.

Urusan lain ialah pengesahan biometrik pemunya baharu (pembeli) bagi urusan tukar hak milik secara sukarela (kenderaan persendirian) dan permohonan permit memandu antarabangsa, katanya.

Wee berkata pembukaan kaunter JPJ selari dengan keputusan kerajaan untuk membuka semula sektor ekonomi menerusi pelaksanaan Perintah Pergerakan Kawalan Bersyarat (PKPB). – BERNAMA

Berita Harian X