Ahad, 10 Mei 2020 | 6:19pm

COVID-19: Pengesanan kontak rapat Kluster Pedas masih diteruskan

PUTRAJAYA: Pengesanan dan saringan terhadap kontak rapat Kluster Pedas membabitkan sebuah kilang memproses ayam di situ masih giat dilaksanakan ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata setakat ini KKM mengesan dan menjalankan ujian saringan terhadap 768 individu termasuk kontak rapat dan seramai 131 daripada mereka didapati positif COVID-19. Justeru, pengesanan kontak rapat masih diteruskan manakala kilang berkenaan juga sudah ditutup.

"Yang pasti ialah kawalan terhadap kilang itu dan kontak rapat. Usaha yang dijalankan kita dapat mengesan kes positif berjumlah 131. Langkah pencegahan nyah cemar dan nyah kuman masih dijalankan di kilang itu," katanya.

Bagi kluster baharu yang dikenal pasti di tapak pembinaan di Setia Alam, KKM menasihati mana-mana pihak yang mempunyai kontak rapat dengan pekerja warga asing yang sudah disahkan positif COVID-19 untuk tampil menjalani ujian saringan.

Setakat ini, kluster itu dapat dikawal malah tiada kes baharu dikesan semalam, selain ia dalam pemantauan KKM.

"Kita sudah kenal pasti yang positif dan mengambil tindakan yang diperlukan untuk mengekang penularan. Setakat ini kita dapat kawal kluster itu dan berharap tiada pertambahan kes baharu dikesan dalam sehari dua ini," katanya.

Dalam pada itu, walaupun KKM masih menjalankan pengesanan kontak rapat terhadap 12 kes positif yang dikesan sebelum ini, belum ada keperluan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika ini.

Penularan dalam kalangan pekerja asing di situ berkemungkinan disumbangkan oleh cara hidup mereka yang tinggal bersesak-sesak dalam satu unit kediaman.

Justeru, katanya, beliau berharap, tindakan pengawasan aktif itu dapat membendung penularan wabak berkenaan di kawasan berkenaan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Sebuah bas digunakan untuk membawa individu yang mempunyai kontak rapat dengan pekerja sebuah kilang di Pedas ke pusat kuarantin. - Foto fail BERNAMA
    Sebuah bas digunakan untuk membawa individu yang mempunyai kontak rapat dengan pekerja sebuah kilang di Pedas ke pusat kuarantin. - Foto fail BERNAMA
    Berita Harian X