Jumaat, 8 Mei 2020 | 4:54pm
Pembukaan urus niaga JPJ secara berperingkat bagi mengurangkan risiko penyebaran pandemik COVID-19 di negara ini. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Pembukaan urus niaga JPJ secara berperingkat bagi mengurangkan risiko penyebaran pandemik COVID-19 di negara ini. - NSTP/Saifullizan Tamadi

JPJ tambah 13 lagi urus niaga di kaunter, mulai Isnin ini

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menambah 13 lagi urus niaga bagi perkhidmatan kaunternya, mulai Isnin ini.

JPJ dalam satu kenyataan hari ini, berkata ini membolehkan individu memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan e-hailing, teksi dan kereta sewa, selain urusan yang berkaitan dengannya.

Katanya, tambahan perkhidmatan itu membolehkan urusan berkaitan kenderaan perdagangan yang sudah dibuka sebelum ini.

JPJ memahami rungutan orang ramai mengenai operasi kaunter di pejabatnya hanya untuk urusan kenderaan perdagangan dan beberapa urusan sahaja.

"Seperti dimaklumkan sebelum ini, pembukaan urus niaga JPJ secara berperingkat bagi mengurangkan risiko penyebaran pandemik COVID-19 di negara ini.

"Pembukaan urus niaga pada ketika ini lebih memfokuskan kepada kenderaan perdagangan atau komersial sahaja bagi menyokong kelangsungan aktiviti ekonomi negara," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, kenderaan persendirian diingatkan masih tertakluk terhadap pengecualian pembaharuan LKM dan Lesen Memandu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti diumumkan Menteri Pengangkutan, pada 24 Mac lalu.

Sehubungan itu, orang awam dibenarkan untuk memandu kenderaan meskipun LKM atau lesen memandu sudah tamat tempoh dalam tempoh PKP dengan syarat insurans kenderaan masih berkuat kuasa.

"JPJ sentiasa komited dalam memberikan khidmat bakti kepada masyarakat dan sentiasa berpadu tenaga untuk memutuskan rantai penularan pandemik COVID-19.

"Perkhidmatan kaunter beroperasi pada hari bekerja dari jam 8 pagi hingga 3 petang sahaja. Bagaimanapun urus niaga selepas jam 11 pagi hanya terhad kepada pembayaran elektronik (e-pembayaran) sahaja.

"Justeru, orang ramai digalakkan menggunakan kaedah pembayaran secara e-pembayaran menerusi transaksi kad debit atau kredit," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X