Khamis, 7 Mei 2020 | 6:21pm

Tiada kesesakan luar biasa hari pertama rentas negeri

KUALA LUMPUR: Tiada kesesakan luar biasa di semua laluan keluar daripada ibu negara sama ada menuju ke utara, timur dan selatan Semenanjung menerusi Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Karak dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pada hari pertama Gerak Malaysia.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, berkata secara umum aliran trafik berjalan dengan lancar pada hari pertama orang ramai melakukan perjalanan rentas negeri.

"Tidak berlaku sebarang kesesakan di jalan-jalan raya utama atau mengalami jumlah aliran kenderaan yang banyak setakat ini. Mungkin disebabkan hari ini cuti umum Hari Wesak menyebabkan tidak banyak kenderaan berada di atas jalan raya, menyumbang kepada kelancaran aliran trafik," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Bagaimanapun, pihak JPST akan sentiasa melakukan pemantauan di sepanjang tempoh pergerakan rentas negeri sehingga Ahad ini untuk menilai sebarang perubahan pada aliran trafik serta jumlah kenderaan.

Dalam pada itu, tinjauan BH di tiga plaza tol utama di ibu negara iaitu Plaza Tol Jalan Duta (arah ke utara), Plaza Tol Sungai Besi (arah ke selatan) dan Plaza Tol Gombak (arah ke timur) hari ini, mendapati aliran trafik bergerak dengan sangat lancar.

Pemantauan sejak jam 9 pagi tadi mendapati jumlah kenderaan yang memasuki lebuh raya amat terkawal dengan pemantauan dilakukan anggota JPST yang bersiap sedia di khemah yang didirikan berhampiran setiap plaza tol.

Selain itu, tinjauan BH turut mendapati tiada sebarang sekatan jalan raya (SJR) dibuat di laluan masuk ke lebuh raya di plaza-plaza tol berkenaan atau sebarang pemeriksaan dilakukan ke atas pemandu dan kenderaan.

Bagaimanapun, BH difahamkan SJR hanya dilaksanakan di laluan masuk di sempadan antara negeri untuk mereka melakukan pemeriksaan termasuk semakan Kod Respon Pantas (QR) ke atas pemandu yang melakukan perjalanan antara negeri hari ini.

Selain itu, BH turut difahamkan SJR akan didirikan di laluan keluar setiap lebuh raya utama untuk anggota polis melakukan pemeriksaan ke atas mereka yang melakukan perjalanan dari utara, timur dan selatan masuk ke ibu negara, bermula esok.

Sementara itu, tinjauan udara Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia mendapati beberapa kawasan panas atau 'hot spot' lebuh raya utama dan laluan masuk serta keluar pusat bandar juga terkawal.

Komander PGU, Datuk Mohd Hishamudin Tahar berkata, tinjauan udara dibuat di kebanyakan daerah di Selangor dan Kuala Lumpur bermula jam 8 pagi tadi.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed memaklumkan hampir 100 SJR akan didirikan di laluan utama sempadan antara negeri termasuk lebuh raya seluruh negara.

Katanya, pemandu perlu mempamer kod QR di telefon bimbit mereka menerusi aplikasi Gerak Malaysia kepada anggota polis di SJR yang akan mengimbas kod itu untuk tujuan pengesahan sebelum membenarkan pemandu meneruskan perjalanan," katanya.

Beliau juga berkata, orang ramai diingatkan untuk menjana kod QR itu sebelum membuat perjalanan pada hari yang ditetapkan kerana kod berkenaan hanya sah untuk tempoh 24 jam sahaja.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini menetapkan hari ini kepada orang ramai yang terkandas di Kuala Lumpur untuk pulang ke kediaman masing-masing di negeri lain di Semenanjung, diikuti esok bagi mereka yang berada di Perak, Johor dan Kelantan menuju ke destinasi masing-masing terutama di Kuala Lumpur.

Pada 9 Mei, pergerakan dikhususkan kepada mereka yang bergerak dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang dan 10 Mei pula pergerakan dikhususkan kepada mereka yang berada di Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Tinjauan aliran trafik di Lebuhraya PLUS pada jam 12.30 tengah hari di susur keluar Plaza Tol Sg. Buaya kedua-dua arah lancar pada hari pertama pergerakan rentas negeri dengan permit khas yang bermula hari ini hingga 10 Mei dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan wabak COVID-19 yang melanda negara. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
    Tinjauan aliran trafik di Lebuhraya PLUS pada jam 12.30 tengah hari di susur keluar Plaza Tol Sg. Buaya kedua-dua arah lancar pada hari pertama pergerakan rentas negeri dengan permit khas yang bermula hari ini hingga 10 Mei dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan wabak COVID-19 yang melanda negara. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
    Berita Harian X