Khamis, 7 Mei 2020 | 2:41pm
Pesakit kanser, Azmah Jaafar, 58, sedang menjahit pakaian perlindungan diri (PPE) sambil diperhatikan oleh Dr Hanafi Yahya dan isterinya, Dr Fariza Hanim Shahir (tengah) di kediamannya dekat Kampung Kuala Slim, Muallim, dekat sini.
Pesakit kanser, Azmah Jaafar, 58, sedang menjahit pakaian perlindungan diri (PPE) sambil diperhatikan oleh Dr Hanafi Yahya dan isterinya, Dr Fariza Hanim Shahir (tengah) di kediamannya dekat Kampung Kuala Slim, Muallim, dekat sini.

COVID-19: Pesakit kanser jahit PPE untuk barisan hadapan

MUALLIM: Seorang pesakit kanser tampil menjadi sukarelawan menyediakan pakaian perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan negara yang sedang memerangi wabak COVID-19.

Azmah Jaafar, 58, dari Kampung Kuala Slim, disahkan mengidap kanser payu dara sejak 2014 dan menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada tahun berikutnya, menganggap penyertaannya sebagai amal kebajikan kepada negara.

Beliau berkata, membuat kerja amal kebajikan terutama menghasilkan PPE kepada petugas hospital itu dilakukan atas kerelaan beliau sendiri yang sememangnya mempunyai kemahiran bidang jahitan.

"Walaupun saya masih menjalani rawatan enam bulan sekali di hospital tetapi apabila ternampak hantaran dalam laman Facebook oleh Dr Hanafi Yahya yang memerlukan sukarelawan menjahit PPE, saya dengan rela hati menawarkan diri.

"Apabila disahkan mengidap kanser payu dara yang memang ditakuti golongan wanita, bagi saya ini bukanlah penamat dalam kehidupan dan dengan membuat kerja-kerja kebajikan, secara tidak langsung dapat menghilangkan apa yang sedang kita alami itu," katanya ketika ditemui sedang tekun menjahit PPE di rumahnya, dekat sini.

Ada kira-kira 50 sukarelawan sekitar daerah Muallim diketuai Dr Hanafi membantu petugas HSR menghasilkan PPE sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

Sejak disahkan mengidap kanser payu dara, ibu kepada empat anak ini mendapat sokongan dan motivasi daripada suaminya, Ibrahim Mat Adam, 69, dan anaknya, membuat beliau bersemangat dalam menjalani kehidupan seharian.

Paling menakjubkan, keceriaan dan sikap ramah beliau melayan tetamu tidak menampakkan seolah beliau sedang mengidap kanser dan semangat itulah menjadikan beliau dikagumi oleh penduduk.

Azmah berkata, berbekalkan pengalaman beliau selama 25 tahun dalam bidang jahitan pakaian membolehkan beliau mampu menghasilkan kira-kira 30 PPE setiap hari yang dilakukan ketika masa senggang di rumahnya.

"Saya memang suka membuat kerja amal kebajikan di kampung ini terutama yang mampu memberi manfaat dan dapat membantu mengurangkan beban golongan kurang mampu.

"Inilah amal kebajikan saya dan jihad saya kepada negara dalam membantu petugas hospital menyekat rantaian wabak Covid-19, moga sumbangan kecil ini dapat membantu mereka," katanya.

Berita Harian X