Selasa, 5 Mei 2020 | 4:10pm

Pos Malaysia dibenar urus pembaharuan lesen memandu, LKM

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi kebenaran kepada Pos Malaysia mengendalikan urus niaga pembaharuan Lesen Memandu Malaysia dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan persendirian.

Ia selaras pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai semalam yang membenarkan hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan beroperasi semula selepas ada yang dilarang dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac.

"JPJ memahami rungutan orang ramai berkenaan pembukaan kaunter urus niaga di pejabat yang hanya untuk urusan kenderaan perdagangan dan beberapa jenis urus niaga.

"Sebenarnya, pelaksanaan pembukaan urus niaga kaunter JPJ adalah dilaksanakan secara berperingkat bagi mengurangkan risiko penyebaran COVID-19," kata jabatan itu melalui satu kenyataan, hari ini.

JPJ juga memaklumkan, pembukaan urus niaga berperingkat memfokuskan kepada kenderaan perdagangan atau komersial sahaja bagi menyokong kelangsungan ekonomi.

"Secara beransur-ansur, JPJ seterusnya akan membuka kaunter urus niaga bagi urusan lain termasuk berkaitan kenderaan persendirian.

"Bagaimanapun, diingatkan bahawa kenderaan persendirian masih tertakluk terhadap pengecualian pembaharuan LKM dan Lesen Memandu dalam tempoh PKP seperti yang diumumkan Menteri Pengangkutan pada 24 Mac lalu," katanya.

Jabatan itu menjelaskan, orang awam masih dibenarkan memandu kenderaan jika LKM atau lesen memandu sudah tamat tempoh dalam waktu PKP dengan syarat insurans kenderaan masih berkuat kuasa.

"JPJ sentiasa komited memberikan khidmat bakti kepada masyarakat dan sentiasa berpadu tenaga untuk memutuskan rantaian penularan pandemik COVID-19," kata kenyataan berkenaan.

Berita Harian X