Selasa, 5 Mei 2020 | 2:55pm

COVID-19: Puas hati kawalan kendiri, pematuhan SOP orang ramai

PUTRAJAYA: Kerajaan berpuas hati kawalan kendiri dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) diamalkan orang ramai pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semalam.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ada beranggapan hari pertama PKPB akan menjadi kelam-kabut, namun keadaan masih terkawal dan orang ramai menunjukkan kawalan kendiri tinggi.

Katanya, jangkaan premis perniagaan akan sesak dan tiada pematuhan SOP seperti penjarakan sosial jelas meleset.

"Hasil laporan pemantauan mendapati premis perniagaan mengamalkan SOP ditetapkan.

"Mereka juga didapati mengambil suhu badan, mengehadkan jumlah pelanggan pada satu-satu masa dan memastikan pelanggan beratur di luar premis dalam jarak sosial dibenarkan, iaitu satu meter," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mesyuarat menteri mengenai pelaksanaan PKP, di Putrajaya dekat sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, tinjauan dalam pengangkutan awam seperti Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) juga mendapati pengguna mengamalkan penjarakan sosial, selain memakai pelitup muka.

"Oleh itu, kerajaan ingin merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada orang ramai atas kawalan kendiri dalam mematuhi SOP ditetapkan dan berharap amalan kawalan kendiri tinggi dapat diteruskan sepanjang masa bagi memastikan rantaian jangkitan COVID-19 dapat diputuskan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Gambar hiasan. - Foto BERNAMA
    Gambar hiasan. - Foto BERNAMA
    Berita Harian X