Selasa, 5 Mei 2020 | 9:33am
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sultan Selangor dukacita pemandu mabuk langgar polis bertugas

Oleh Ruwaida Md Zain

bhnews@bh.com.my

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita dengan kematian Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail akibat dirempuh pemandu kenderaan pacuan empat roda dipercayai mabuk di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), pagi Ahad lalu.

Dalam titah perutusan hari ini, baginda juga mahu pemandu terbabit dikenakan hukuman setimpal.

"Beta berdukacita dan kesal ke atas tragedi yang menimpa Allahyarham akibat dilanggar oleh pemandu mabuk ketika Allahyarham sedang menjalankan tugas menjaga keselamatan rakyat.

"Beta memandang berat kes kemalangan cuai sebegini dan berharap si pelaku akan dikenakan hukuman yang setimpal," titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan waris Allahyarham yang terkorban ketika bertugas itu.

"Beta dan Tengku Permaisuri Norashikin ingin menzahirkan rasa simpati dan menyampaikan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail.

"Beta berharap agar waris dan ahli keluarga terus tabah menerima ketentuan ini.

"Sesungguhnya pengorbanan Allahyarham adalah sesuatu yang amat mulia di sisi agama, bangsa dan negara," titah baginda.

Allahyarham Safwan.
Allahyarham Safwan.

Ahad lalu, Allahyarham Safwan maut akibat dirempuh dan dihempap sebuah pacuan empat roda ketika sedang bertugas dalam sekatan jalan raya Ops Covid-19 susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kira-kira jam 3 pagi.

Allahyarham bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan selepas dihempap kenderaan berkenaan.

Kemalangan itu menyebabkan mangsa berusia 31 tahun dan berasal dari Ipoh, Perak maut serta merta di lokasi kejadian.

Berita Harian X