Jumaat, 1 Mei 2020 | 11:28pm
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (kanan) ketika melawat penugasan sekatan jalan raya di Jalan Rawang-Kuala Lumpur. - Foto NSTP
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (kanan) ketika melawat penugasan sekatan jalan raya di Jalan Rawang-Kuala Lumpur. - Foto NSTP

Penguat kuasa buru warga asing untuk sekat wabak

KUALA LUMPUR: Langkah agensi keselamatan melakukan operasi besar-besaran memburu warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bertujuan menyekat penularan wabak COVID-19.

Mereka yang tidak memiliki sebarang dokumen ini sukar dikesan sekiranya dijangkiti COVID-19 sehingga boleh menyebabkan penularan wabak berkenaan apabila bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi lain.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata selagi PKP masih dilaksanakan, pihaknya tidak akan membiarkan mana-mana pihak yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah bergerak bebas.

"Sebenarnya, itulah tujuan utama salah satu agensi Kementerian Dalam Negeri, iaitu Jabatan Imigresen Malaysia melakukan operasi besar-besaran secara bersepadu hari ini, bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dibantu Kementerian Kesihatan melakukan operasi di beberapa lokasi di ibu negara, hari ini.

"Sekiranya warga asing yang tidak memiliki dokumen ini terjangkit COVID-19, bagaimana kita nak cari dan kesan mereka, sedangkan pada masa itu dia sudah menyebarkan gejala berkenaan kepada orang lain, seterusnya akan mewujudkan kluster baru pula," katanya selepas melawat penugasan sekatan jalan raya di Jalan Rawang-Kuala Lumpur.

Katanya, warga asing yang berada di negara ini secara sah mudah dikesan kerana pihak berkuasa mempunyai maklumat tentang kediaman serta tempat kerja, selain mengetahui butiran majikan mereka.

Beliau berkata, warga asing yang ditahan akan dikumpulkan sekaligus memudahkan pihak berkuasa mengawal pergerakan mereka, selain menjaga mereka di satu lokasi yang sudah ditetapkan sehinggalah tempoh PKP berakhir.

"Apabila tempoh PKP berakhir kelak, terpulanglah kepada kerajaan untuk memutuskan sama ada untuk meneruskan tindakan susulan mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen atau mengusir mereka kembali ke negara asal melalui proses yang ditetapkan sebelum ini.

Hari ini, Jabatan Imigresen dan agensi penguatkuasaan lain menggempur sekitar kawasan Masjid India, di sini, dan menahan ratusan warga asing yang tiada dokumen perjalanan yang sah.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X