Selasa, 28 April 2020 | 10:47pm

COVID-19: 6 daerah di Terengganu zon hijau

KUALA TERENGGANU: Hanya dua daripada lapan daerah di Terengganu disenarai sebagai zon kuning penularan COVID-19, manakala selebihnya diletakkan dalam kategori zon hijau.

Dua daerah dalam zon kuning adalah Besut dan Dungun, manakalala Hulu Terengganu, Marang, Kuala Nerus, Setiu, Kemaman dan Kuala Terengganu diisytihar sebagai zon hijau apabila tiada kes baru COVID-19 dalam tempoh 14 hari daripada kes terakhir dilaporkan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Nor Azimi Yunus, berkata Kuala Terengganu menjadi daerah terbaru diisytihar sebagai zon hijau, manakala lima yang lain diisytihar secara berperingkat.

Katanya, Hulu Terengganu menjadi satu-satunya daerah yang mencatatkan sifar kes COVID-19 setakat ini.

"Apabila tiada kes baharu dalam tempoh 14 hari, kita boleh katakan wabak COVID-19 di daerah berkenaan sudah berakhir dan boleh dikategorikan sebagai zon hijau.

"Bagaimanapun, mereka masih perlu memberikan kerjasama dengan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana kita tidak mahu ia bertukar kepada zon kuning, jingga atau merah.

"Bagi pihak JKNT, saya mengucapkan tahniah kepada warga Terengganu yang memberi kerjasama baik sehingga menjadikan daerah mereka zon hijau," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Berdasarkan laporan statistik terkini COVID-19 dikeluarkan Bilik Gerakan Bencana Negeri Terengganu, sebanyak 110 kes positif wabak itu dilaporkan di Terengganu dengan 70 kes sembuh dan satu kematian direkodkan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X