Isnin, 27 April 2020 | 3:58pm

Suspek tetak adik diberkas

PARIT: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai menetak adik lelakinya dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Sekolah Rendah Kampung Kota Setia, Teluk Intan, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Barudin Wariso, berkata suspek berumur 42 tahun itu ditahan bersama isterinya di sebuah inap desa di Tanjung Karang, Selangor, oleh sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, kira-kira jam 1.15 tengah hari.

"Suspek yang melarikan diri selepas kejadian itu, menyewa inap desa berkenaan untuk menyembunyikan diri bersama isterinya yang juga suri rumah. Siasatan mendapati mereka mempunyai lima anak yang dijaga ibu suspek di Kampung Kota Setia," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Barudin berkata, suspek dan isterinya direman selama tiga hari bermula hari ini, untuk membantu siasatan lanjut.

Suspek yang berkerja di sebuah syarikat jenama sukan di Selangor, dipercayai menetak adik lelakinya berumur 38 tahun dengan menggunakan parang panjang sebanyak lima kali, dipercayai berpunca akibat pertengkaran mulut. – BERNAMA

Berita Harian X