Ahad, 26 April 2020 | 9:16pm

UPM, PenDaPaT anjur wacana bincang kesan COVID-19

KUALA LUMPUR: Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT) akan menganjurkan wacana khas COVID-19 pada 28 April ini.

Wacana bertajuk 'Pendidikan Tinggi Pasca COVID-19: Perubahan atau Kesinambungan' itu akan bersiaran secara dalam talian melalui platform 'Zoom Webinar' pada jam 10 pagi.

Ia akan mengetengahkan ahli panel seperti Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Datuk Dr Noor Azizi Ismail dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof Dr M Iqbal Saripan.

Yang lain adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof Dr Mohd Shahir Shamsir dan Penolong Naib Canselor (Pengurusan Strategi dan Kualiti) Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Prof Dr Harshita Aini Haroon.

Wacana berkenaan akan dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah Pejabat Strategi Korporat & Komunikasi (CoSComm) UPM, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain yang juga Setiausaha PenDaPaT.

Pengarah Pejabat CoSCcomm) UPM, Prof Dr Azmawani Abd Rahman, berkata wacana dianjurkan berikutan pandemik COVID-19 yang berlaku di seluruh dunia memberi impak yang besar dalam kehidupan manusia sejagat.

Katanya, institusi pendidikan tinggi (IPT) terutama dalam konteks universiti awam di negara ini menerima kesan yang sangat besar apabila kuliah terpaksa ditangguh dan kakitangan juga diminta bekerja dari rumah.

"Impak penularan wabak COVID-19 dan situasi PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) mengubah landskap pendidikan tinggi di Malaysia terutama dalam aspek governans dan sistem pengurusan IPT, pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi, pengantarabangsaan dan perancangan strategik.

"Semua aspek ini akan dibincang dalam wacana, sekali gus mencadangkan penambahbaikan kepada dasar sedia ada bagi menghadapi normal baharu dalam pendidikan tinggi," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mereka yang beminat menyertai wacana berkenaan boleh mendaftar secara dalam talian di https://us02web.zoom.us/webinar/register/WN_yEVE7Et4QKS8GTzmCaV4Dw.

Berita Harian X