Selasa, 21 April 2020 | 8:25pm
Dr Noor Hisham melihat kek yang dihadiahkan oleh pengamal media sempena hari lahirnya ke-57 selepas sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto BERNAMA
Dr Noor Hisham melihat kek yang dihadiahkan oleh pengamal media sempena hari lahirnya ke-57 selepas sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto BERNAMA

'Terima kasih, rakyat Malaysia'

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas ucapan selamat hari jadi kepada beliau, hari ini.

Dalam ucapan ringkasnya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini, Dr Noor Hisham mengajak rakyat untuk terus sama-sama berjuang memerangi wabak itu.

"Kita masih dalam perjuangan untuk memutuskan jangkitan COVID-19. Jadi, sama-samalah kita mantapkan tindakan untuk memastikan kita mencapai sasaran menurunkan jumlah kes," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada ucapan selamat hari jadi yang disampaikan seorang wakil media, sebelum menjawab soalan berhubung isu berkaitan COVID-19.

Ruang komen Facebook rasmi Dr Noor Hisham sejak malam tadi dibanjiri ucapan selamat hari jadi.

Beliau yang kini menjadi tumpuan rakyat atas usahanya menerajui barisan hadapan perubatan menghadapi wabak COVID-19 menyambut ulang tahunnya yang ke-57 hari ini.

Selepas tamat sidang media yang disiarkan secara langsung di televisyen dan Facebook, wakil media yang hadir turut mengambil kesempatan mengucapkan dan menyanyikan lagu selamat hari jadi kepada beliau.

Dr Noor Hisham juga turut menerima beberapa kek termasuk daripada beberapa agensi media.

Dalam ucapan ringkasnya kepada media, Dr Noor Hisham terus merakamkan penghargaan kepada pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan yang disifatkan beliau sebagai panglimanya.

Mereka adalah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Rohaizat Yon; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Dr Hishamshah Mohd Ibrahim dan Ketua Bahagian Kawalan Penyakit, Dr Norhayati Rusli.

"Saya nak kenalkan, inilah panglima saya," katanya.

Dr Noor Hisham mengucapkan terima kasih kepada "panglima" Kementerian Kesihatan dan pengamal media yang meraikan sambutan ulang tahun kelahiran ke-57 beliau. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Dr Noor Hisham mengucapkan terima kasih kepada "panglima" Kementerian Kesihatan dan pengamal media yang meraikan sambutan ulang tahun kelahiran ke-57 beliau. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X