Jumaat, 17 April 2020 | 12:42pm
Perutusan Khas Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri

COVID-19: JAKIM batalkan UPKK tahun ini

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membuat keputusan membatalkan peperiksaan bertulis Ujian Penilaian Kelas Agama dan Fardu Ain (UPKK) tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri ketika mengumumkan perkara itu menjelaskan, keputusan itu bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid terjamin.

“Pembatalan UPKK tidak akan menjejaskan penilaian terhadap penguasaan murid selepas mengikuti pendidikan Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) yang bermula sejak Tahun Satu hingga Tahun Enam di peringkat rendah.

“Kemenjadian murid dalam pendidikan KAFA boleh dinilai dengan pelbagai kaedah, justeru JAKIM akan menetapkan kaedah baharu bagi menggantikan ujian bertulis ini,” katanya pada sidang media khas di Facebook, hari ini.

 Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Peperiksaan bertulis bagi UPKK dijadual diadakan pada 28 September hingga 1 Oktober depan.

Ia adalah peperiksaan diselaraskan di seluruh negara oleh JAKIM untuk murid Tahun Lima atau Enam di Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Rendah Agama (SRA) yang menggunakan sukatan pelajaran kurikulum KAFA dirangka JAKIM.

Matlamat UPKK adalah menilai tahap kemahiran, kebolehan dan penghayatan murid dalam pengajian al-Quran, Ulum Syariah - Akidah dan Ibadah, Sirah, Adab, Jawi dan Khat serta Asas Lughatul Quran.

Rabu lalu, Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun ini dibatalkan berikutan penularan wabak COVID-19.

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pula ditangguhkan kepada suku pertama tahun depan.

Beliau turut menyarankan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) membatalkan UPKK bagi menjamin keselamatan dan kesihatan murid ketika negara berdepan penularan COVID-19.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, keputusan JAKIM hari ini sebagai selaras dengan perutusan Mohd Radzi pada Rabu lalu yang menetapkan pembukaan semula sesi persekolahan tertakluk kepada perkembangan semasa wabak COVID-19 serta nasihat daripada Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Selaras dengan keputusan Kementerian Pendidikan, JAKIM juga membuat keputusan (pembukaan kelas KAFA) mengikut apa yang ditetapkan kementerian berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pengumuman pembatalan UPKK itu diharap dapat melegakan perasaan ibu bapa yang anak mereka dijadual mengikuti ujian berkenaan pada tahun ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Sebahagian pelajar Sekolah Rendah Agama (SRA), Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya membaca al-Quran pada Majlis Khatam Al-Quran Perdana Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Pengumuman Keputusan UPSRA di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta. - Foto fail NSTP/ Azhar Ramli
    Sebahagian pelajar Sekolah Rendah Agama (SRA), Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya membaca al-Quran pada Majlis Khatam Al-Quran Perdana Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Pengumuman Keputusan UPSRA di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta. - Foto fail NSTP/ Azhar Ramli
    Berita Harian X