Khamis, 16 April 2020 | 7:33pm

COVID-19: Kes babitkan pelajar tahfiz semakin meningkat

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati kes membabitkan pelajar tahfiz semakin meningkat apabila bilangan positif COVID-19 kini seramai 250 berbanding semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata setakat ini, pihaknya sudah mengesan seramai 9,842 pelajar tahfiz dari lebih 304 madrasah tahfiz di seluruh negara.

Ketika ini ujian dilaksanakan terhadap mereka yang masih berada di madrasah atau sekolah masing-masing.

"Kita percaya ada kemungkinan pelajar tahfiz mendapat jangkitan daripada jemaah tabligh. Kes pelajar tahfiz semakin meningkat dan kita jalankan saringan terhadap pelajar tahfiz.

"Seramai 2,697 pelajar sudah kita saring dan daripada itu 250 atau 9.3 peratus didapati positif," katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mungkin mengambil masa antara satu atau dua minggu untuk mengesan dan menjalankan ujian saringan terhadap mereka.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, daripada 28 kluster yang dikenal pasti sebelum ini, ada yang sudah ditamatkan kerana sudah melebihi tempoh pengeraman 14 hari.

"Kluster itu sudah khatam. Apa yang penting ialah kluster lain. Ada yang masih aktif satu kes atau dua kes, jadi kita kena pantau untuk tempoh lebih 14 hari," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, ada pertambahan tiga kes positif di kawasan flat PKNS di Kampung Baru menjadikan jumlah keseluruhan hari ini 30 manakala kluster di Sendayan, mencatatkan peningkatan sebanyak 26 kes menjadi 66 kes positif.

Ada satu pertambahan kes di madrasah di Sungai Lui menjadikan jumlah positif 129 yang mana 127 daripadanya adalah pelajar tahfiz dan kluster Itali di Sarawak mencatatkan satu pertambahan kes menjadi 53 kes manakala kluster persidangan gereja di Sarawak mencatatkan pertambahan lima kes positif menjadi jumlah keseluruhan 123 kes.

"Kluster Masjid Seri Petaling ketika ini ada sebanyak 1,939 kes positif daripada 25,405 sampel yang diambil manakala seramai 27,330 jemaah tabligh sudah diperiksa.

"Seramai 767 daripada yang positif adalah kes indeks manakala tujuh yang positif adalah daripada generasi kelima," katanya.

Sebanyak 11 kes positif baharu dilaporkan di Bandar Baharu Ibrahim Majid yang kini bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menjadikan jumlah keseluruhan 183 dan di kawasan bukan Sungai Lui, sebanyak tiga kes positif baharu dicatatkan menjadi jumlah keseluruhan adalah 312 kes.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Bomba menjalankan operasi nyah cemar bagi membantu perpindahan 132 pelajar tahfiz Madrasah Miftahul Ulum, Masjid Seri Petaling. - Foto hiasan ihsan Bomba KL
    Bomba menjalankan operasi nyah cemar bagi membantu perpindahan 132 pelajar tahfiz Madrasah Miftahul Ulum, Masjid Seri Petaling. - Foto hiasan ihsan Bomba KL
    Berita Harian X