Selasa, 14 April 2020 | 4:37pm

Bantuan 'one-off' kepada penerima layak telah disalurkan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan telah menyalurkan insentif bayaran secara ‘one-off’ kepada penerima yang layak secara berperingkat seperti mana yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata sehingga 12 April 2020, sebanyak RM600 telah diberikan kepada pemandu teksi, pemandu pelancong dan juga pengayuh beca.

Beliau berkata, bayaran telah diberikan kepada 25,000 (86 peratus) pemandu teksi, 7,500 (63 peratus) pemandu pelancong dan 100 peratus kepada pengayuh beca.

Katanya, bagi bayaran Elaun Khas Bulanan kepada penjawat awam barisan hadapan pula, tuntutan elaun bulanan RM600 bagi pegawai kesihatan dan RM200 bagi pegawai barisan hadapan yang lain akan bermula pada April ini kepada 200,000 penerima.

“Bayaran insentif secara ‘one-off’ RM500 buat pemandu e-hailing pula, kerajaan telah menurunkan minima gaji pemandu sepenuh masa dari RM2,000 sebulan ke RM1,200 untuk memastikan lebih ramai pemandu menerima bantuan ini, terutamanya pemandu di luar bandar.

“Lebih 40 syarikat operasi e-hailing telah memberi maklum balas dan membantu mengenalpasti pemandu e-hailing yang layak. Bayaran akan dibuat pada 20 April kepada lebih 90,000 pemandu e-hailing sepenuh masa,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X